Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo tersenarai dalam barisan kesebelasan pemain yang menampilkan prestasi paling mengecewakan dalam saingan Euro 2024 menurut akhbar Sepanyol, Marca.

Pemain veteran berusia 39 tahun itu gagal menjaringkan sebarang gol dan pasukannya tersingkir daripada kejohanan selepas tewas di tangan Perancis di suku akhir.

Baca Juga:

Ronaldo satu-satunya pemain Portugal dinamakan Marca dalam skuad terburuk itu.

Dua pemain dari kelab EPL iaitu Oleksandr Zinchenko (Arsenal) dan Dominik Szoboszlai (Liverpool) turut tidak bernasib baik apabila disenaraikan oleh Marca.

Barisan kesebelasan terburuk Euro 2024: Livakovic (Croatia), Di Lorenzo (Itali), Mancini (Itali), Christensen (Denmark), Zinchenko (Ukraine), McGinn (Scotland), Milinkovic-Savic (Serbia), Szoboszlai (Hungary), Vlahovic (Serbia), Lukaku (Belgium), dan Ronaldo (Portugal).

Peminat bola sepak dunia turut terkejut dengan senarai tersebut namun kebanyakan bersetuju Ronaldo sudah tidak seperti dahulu dan gagal menampilkan prestasi terbaiknya kali ini.

Lagenda Manchester United Roy Keane mencadangkan agar Cristiano Ronaldo melupakan Piala Dunia 2026 dan berehat sahaja di rumah.

“Dia (Ronaldo) patut berehat dan melupakan kancah bola sepak antarabangsa dan jika dia masih beraksi di peringkat kelab, maka tunggu saja Piala Dunia Kelab apabila ia tiba.

“Kita lihat kepada (Harry) Kane apabila Kane kurang berfungsi dan penjaring utama anda tidak beraksi baik, anda bermain dengan 10 orang. Apabila anda bermain di tahap tertinggi, anda tidak boleh membawa sesiapa saja. Pergerakan dia (Ronaldo) masih ada di sana – menentang Perancis, cemerlang.

“Dia (Ronaldo) boleh terus bermain tetapi tidak bagi bola sepak antarabangsa. Berapa ramai pemain yang kita ketahui berhenti beraksi di peringkat antarabangsa pada usia muda dan jelas meneruskan karier yang bagus di peringkat kelab,” kata Keane dalam satu rancangan TV, Stick to Football: The Overlap Special.