Memang tidak dinafikan ada hartanah yang berbaloi untuk dibeli jika diubah suai semula meskipun terletak di kawasan terpencil asalkan menepati citarasa anda.

Walaupun ada yang bermazhab memiliki rumah sesuatu keperluan dan ambil sahaja sebarang peluang jika menemui hartanah dengan harga yang rendah, tetap ada risiko yang perlu diambil kira jika tidak mahu menyesal di kemudian hari.

Baru-baru ini, seorang agen hartanah membuat perkongsian yang membuka mata orang ramai realiti sebenar rumah cantik yang dilelong pada harga murah tidak semestinya berbaloi untuk didapatkan.

teres
Sumber Gambar: FB

Dia berkongsi pada mulanya agak hairan apabila melihat harga lelong unit sebuah lokasi hartanah yang serba cantik dan moden ini sedia dijual pada harga tidak masuk akal iaitu RM73,000 sahaja, yang mana jauh lebih murah berbanding rumah flat di Kuala Lumpur atau Selangor.

Selepas diteliti, barulah mengetahui sebab rumah teres yang cantik ini sedia dilepaskan pada harga murah dek kerana menjadi kawasan panas berlakunya bencana banjir.

Dia langsung menegaskan hanya mereka yang berani sahaja akan mengambil risiko untuk memiliki hartanah ini pada harga sedemikian.

“Beli atas risiko sendiri,” ujarnya.

teres
Sumber Gambar: FB

Berdasarkan gambar yang dikongsikan ini, kawasan rumah teres itu kelihatan tenggelam di tengah-tengah air apabila dilanda banjir sekaligus memberikan gambaran akan berlaku sejumlah kerosakkan pada bahagian dalaman rumah. Kos penggantian atau pembaikian sudah pasti mencecah ribuan ringgit pada saban tahun.

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut mengetahui kawasan hartanah yang begitu cantik terpaksa dibiarkan dan pemilik menanggung kerugian besar dek kerana kekerapan dilanda banjir.

Ada yang mendedahkan hampir terbeli sebuah unit sewaktu pelancaran dahulu kerana dipujuk oleh penjual hartanah dengan dakwaan rumah ini bebas banjir.

Ramai juga yang membidas tindakan pemaju yang tidak mengambil kira faktor bencana alam sebelum membuat projek perumahan di tanah itu.

Ada yang mencadangkan untuk membelinya dan mendapatkan tuntutan insurans sebagai bencana alam namun sebahagian mendakwa syarikat insurans juga sudah mulai enggan memberikan polisi sedemikian untuk kawasan-kawasan panas seperti ini.