Seorang pelajar Indonesia yang kini menuntut di Malaysia berkongsi berita gembira buat rakyat Malaysia melalui laman media sosial TikTok peribadinya iaitu nilai Rupiah sedang merudum.
Ini merupakan tanda bahawa belanja dan melancong ke Indonesia lebih “worth it” berbanding sebelum ini.
Berdasarkan laporan mata wang dunia, kadar tukaran semasa menunjukkan RM1 bersamaan dengan kira-kira Rp3,768.
Bandingkan dengan April tahun lepas, di mana RM1 hanya mampu mendapatkan kurang daripada Rp3,400.
Dalam masa setahun, perbezaannya hampir mencecah Rp600.
Pelajar tersebut memberikan contoh mudah – jika anda menukar RM10,000 sekarang, anda akan mendapat hampir Rp6,000,000.
Ini bermaksudi lebih banyak wang untuk berbelanja, makan, atau menjelajah destinasi menarik di Indonesia.
“Untuk rakyat Malaysia, inilah masa terbaik untuk melawat Indonesia, terutamanya jika anda ingin berbelanja lebih,” katanya dalam video tersebut.
Mengapa Rupiah Semakin Lemah?
Walaupun berita ini menggembirakan pelancong Malaysia, situasi sebaliknya berlaku buat rakyat Indonesia.
Pelajar itu menjelaskan bahawa ketidakstabilan politik dan ekonomi negara tersebut menyebabkan pelabur asing menarik diri, seterusnya melemahkan nilai Rupiah.
Bila pelabur asing risau dengan keadaan ekonomi atau politik sesebuah negara, mereka cenderung mengeluarkan dana dari pasaran saham dan bon Indonesia.
Apabila ini berlaku, permintaan untuk Rupiah jatuh, dan nilai mata wang itu turut merosot.
“Keputusan kerajaan sekarang sangat kritikal, tetapi yang kita lihat ialah polisi-polisi yang kontroversi,” ujarnya. “Jika ada yang masih kata Indonesia stabil, saya ingin tahu, berdasarkan apa?”
Beliau turut menasihati rakyat Indonesia agar lebih berjimat cermat dalam perbelanjaan harian.
Bagi rakyat Malaysia, dia menggalakkan mereka untuk mengambil peluang menikmati kadar tukaran yang menguntungkan ini selagi ia masih ada.