Akibat tak salam cium tangan orang otai, punca seorang vokalis kumpulan punk dibelasah dan dikeronyok. Vokalis tersebut malah dihentak menggunakan tong besi.
Kejadian itu berlaku di Johor Bharu, selepas konsert skinhead.
Sebelum ini wakil daripada band tersebut telah bersuara tentang beberapa orang lelaki menyerang vokalis kumpulan skinhead tersebut.
Armpunk Syndicate menulis: “Tak nampak pun lah sisi ganas kau, bang. Yang kami nampak cuma 6 hingga 7 orang tua botak yang pengecut sebab pukul seorang budak secara beramai-ramai.
“Sekumpulan pembuli bacul telah menyerang dan memukul vokalis kami beramai-ramai. Ini adalah cubaan membunuh kerana dalam video, terdapat cubaan mengeluarkan senjata dan memakai tong besi sebagai senjata.
“Serangan ini sangat memalukan untuk scene skinhead JB, di mana serangan beramai-ramai terhadap vokalis kami yang seorang itu—baru keluar tandas—langsung tiada rasa perikemanusiaan serta tiada belas kasihan.
“Budaya apa yang sedang berlaku dalam ruang seni kita? Ini kah yang kita terapkan dalam scene? Skinhead Johor?”
Tak salam cium tangan otai jadi punca dibelasah
Dan ternyata, alasan vokalis punk tersebut dibelasah kerana tidak cium tangan otai punk yang lain ketika keluar tandas.
Wakil kumpulan itu menambah: “Pembuli ini sesuka hati mencetuskan sebab yang tak logik. Mereka memukul tanpa alasan yang jelas. Salah satu alasan yang tak masuk akal—hanya kerana Zed “tak salam cium tangan”.
Selain itu, jurucakap itu juga mendedahkan bahawa vokalis mereka disiram dengan air bir yang ternyata sudah diisi air kencing dalam tin bir tersebut.
“Bukan setakat itu, semasa kami sedang rancak bermain dalam show, secara tiba-tiba ada seorang lelaki menyimbah air beer ke lineup band kami. Tapi air beer itu bau hancing! Maksudnya apa? Itu air kencing lah kot.
“Dengan semua yang berlaku, anda rasa adil tak apa yang terjadi pada Zed? Adil ke, abang botak?”
Netizen geli hati melihat telatah geng skinhead tersebut. Malah ada yang menyindir bahawa, itu kan konsert punk atau skinhead bukannya majlis ceramah atau keagamaan untuk salam cium tangan orang lebih tua.
Ada yang berkata: “Saya tak pasti sama ada nak ketawa ke apa ni,” memandangkan ada mangsa yang kena belasah gara gara tak salam cium tangan.
Polis Johor dah maklum tentang video tular
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan telah dilakukan sebaik sahaja polis dimaklumkan tentang sebuah video yang tular di media sosial yang menunjukkan insiden tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima daripada mana-mana pihak, termasuk mangsa atau saksi.
“Kami menggesa orang awam untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Terdahulu, beberapa klip video pergaduhan itu telah dikongsi di Facebook, dipercayai dimuat naik oleh kumpulan skinhead berkenaan.
Catatan yang disertakan bersama video tersebut, termasuk beberapa gambar kecederaan mangsa, mendakwa bahawa vokalis itu telah diserang dan dipukul oleh sekumpulan lelaki.
Ia turut mendakwa serangan itu berlaku kerana mangsa tidak “mencium tangan” lelaki-lelaki yang lebih tua atau otai semasa keluar dari tandas.