Sambutan Hari Wanita Sedunia telah berlangsung di Malaysia semalam dengan beberapa NGO telah mengadakan acara untuk sambutan bagi tahun ini. Namun ia sedikit sebanyak mencetuskan debat dalam kalangan para netizen apabila segelintir pihak cuba mempromosikan sesuatu yang lain daripada norma masyarakat Malaysia.
Menurut Malaysiakini, hampir 300 orang berkumpul di pusat bandar semalam bagi menyuarakan pendapat mereka dengan mengangkat pelbagai sepanduk. Antara yang dilaungkan oleh mereka adalah ‘hentikan keganasan dan intimidasi’, ‘hancur patriarki’, ‘kami mahu kesamarataan’ dan bermacam lagi sepanduk.
Ada beberapa tindakan demostran yang dilihat seperti lebih sudu dari kuah. Terutamanya perkara-perkara yang melibatkan soal hak-hak LGBT, kebebasan wanita untuk berpakaian dan perjuangan hak tubuh badan mereka.
Perkara ini juga disentuh oleh Dr Ahmad Sanuzi Azmi, pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia apabila merujuk bahawa jika demonstran itu beragama Islam, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan panduan atau menuntuk hak berdasarkan panduan akal sahaja.
“Wacana berhubung hak asasi wanita menurut Islam adalah jalan yang lebih baik untuk menjelaskan kepada Muslimah betapa Islam telah mengangkat kedudukan wanita.” Kata beliau dalam satu kenyataan di laman peribadi Facebook.
Terdahulu Bunkface pernah dikecam kerana menyuarakan pendapat berkenaan LGBT yang bertentangan dengan kelompok berpandangan liberal. Mereka dikecam kerana telah menyerang golongan LGBT dengan lirik yang berbaur provokasi.
Apa yang jelas, isu ini bukan pertama kali berlaku. Malaysiakini pernah melaporkan bahawa wujud debat dalam kalangan para netizen tahun lalu berkenaan dengan penyertaan golongan LGBT pada hari sambutan yang sama.
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa pada masa itu menyifatkan tindakan menjadikan sambutan itu untuk mempertahankan hak LGBT adalah salah guna kuasa ruang demokrasi.
Namun, secara besarnya, adakah adil untuk menghukum mereka semua apabila yang menyuarakan soal LGBT ini hanya datang dari kelompok kecil?
Sudah tentu tidak. Daripada 300 orang yang hadir semalam. Mungkin hanya 10% yang menyuarakan hak mereka untuk mendapatkan sesuatu yang jelas dilihat bertentangan dengan norma masyarakat Melayu Islam.
Isu-isu yang dibawa juga bukanlah bertujuan untuk mencipta provokasi. Mereka hanya menuntut hak agar wanita lebih dihormati dan bukannya perlu sujud kepada lelaki.
Penganjur himpunan Juana Jaafar berkata, terdapat tujuh tuntutan bagi sambutan Hari Wanita tahun ini yang berkisar kepada isu semasa termasuk desakan menghentikan semua jenis keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual.
“Gaji sama rata bagi pekerjaan sama nilainya, gubal akta kesaksamaan gender dan mengisytiharkan krisis iklim serta merangka rancangan nasional bagi menangani krisis itu,” katanya kepada Harian Metro.
Mereka juga menuntut agar disediakan satu saluran alternatif bagi membantu golongan wanita yang ditindas. Ini berikutan daripada 309 kes jenayah terhadap wanita, lebih 83% adalah melibatkan keganasan rumah tangga.
“Dengan penurunan ekonomi dan ancaman dari Covid-19, kumpulan wanita merana. Peruntukan untuk kanak-kanak dan pusat jagaan orang kurang upaya juga dipotong.” Katanya.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sendiri menyokong sambutan Hari Wanita ini dengan menuntut beberapa isu dipandang lebih berat terutamanya berkenaan isu gaji di mana wanita memperoleh pendapatan sebanyak RM9.32 bagi setiap RM10 yang diperolehi lelaki.
Dalam bidang pekerjaan pula wanita jauh ditinggalkan ke belakang apabila hanya mencatatkan 55.2% sahaja wanita yang terlibat sebagai buruh kerja berbanding 80% lelaki. Dari segi pemerkasaan politik, hanya 14.4% ahli perlimen yang dipilih adalah wanita.
Kebanyakkan laungan tertumpu kepada tuntutan utama sambutan agar orang awam dan kerajaan peka kepada isu-isu yang melibatkan kaum wanita termasuk keganasan terhadap wanita, rogol, gangguan seksual, perkahwinan kanak-kanak dan sikap patriarki.
Agak tidak wajar apabila hari yang memartabatkan golongan wanita dipandang serong dengan isu kecil yang datang daripada golongan kecil demostran.
Terdahulu, Bunkface pernah mencetuskan ‘huru hara’ dengan memuat naik lagu yang mengkritik golongan LGBT. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Kerajaan Indonesia Siasat Cubaan Kembangkan Dakyah LGBT Di Sebuah Vila Terkenal
‘Thor: Love And Thunder’ Bakal jadi Filem Pro-LGBT Pertama MCU?