Ketika menyusuri laman Facebook saya sebentar tadi, saya tertarik dengan iklan jubah Islamik keluaran jenama tempatan Sihulk ini. Ianya nyata sangat berbeza dengan produk jubah yang lain.
Dalam posting ini, Sihulk menerangkan bahawa ‘baju ini dijahit dengan kaedah falaq amat mujarab kepada pesakit mistik seperti sihir, saka dan santau’. Wah, sebegitu hebat baju ini sehingga boleh jadi kalis sihir, saka dan santau?
Dan pada masa yang sama, ada seorang rakan yang berkongsi posting Pseudoscience Watch (PW) yang memberi pendapat tentang produk keluaran Sihulk ini. Rupanya bukan sahaja jubah, tetapi mereka turut mengeluarkan topi yang khabarnya boleh merawat stress, migrain, eczema dan insomnia.
Harganya pula? Dijual dengan harga RM1,200 untuk bukan ahli dan RM1,000 untuk ahli! Memang satu harga yang tidak masuk akal.
Menerusi komen-komen yang ada di posting PW ramai yang menyokong PW dan mengecam Sihulk yang menggunakan agama untuk menjual produk sedangkan jubah dan topi berkenaan bukannya diperbuat daripada bahan yang istimewa. Malah, menggunakan terma ‘falaq’ untuk tampil lebih Islamik dah mudah dipercayai.
Ada juga yang berkongsi kenyataan dari wakil Sihulk berkata semua ini hanyalah fitnah. Apa yang fitnahnya jika mereka secara terang-terangan membuat posting ini di lama Facebook rasmi mereka?
Berhati-hatilah dalam membeli barangan jualan secara atas talian supaya anda tidak terperangkap membeli produk pelik seperti ini. Sudah masuk 2018, takkanlah kita masih mahu sokong produk yang menggunakan agama?