Bilakah kali terakhir anda mengemas barangan yang ada di dalam bilik stor rumah anda? Mungkin sudah bertahun anda tidak menjejakkan kaki ke dalamnya. Namun, selepas membaca kisah benar ini, anda mungkin mahu terus melakukannya, kerana manalah tahu anda juga mungkin sebenarnya memiliki ‘harta karun’ yang sangat bernilai tanpa anda sedari!
Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki bernama Fariz, 42 tahun yang merupakan seorang bekas editor sebuah majalah hiburan berasal dari Kuala Lumpur. Kisahnya bermula apabila seorang rakan Fariz menghubunginya baru-baru ini untuk bertanya khabar.
Mereka berbual tentang pelbagai perkara hinggalah rakannya memberitahu bahawa beliau terlihat gambar sepasang kasut Nike Dunk Low Premium SB keluaran tahun 2007 di dalam sebuah majalah dan teringat bahawa Fariz pernah memberitahu beliau bahawa Fariz memiliki kasut tersebut.
Fariz yang sememangnya telah terlupa bahawa beliau memiliki kasut tersebut kemudian mula menyelongkar bilik stornya dan menjumpai kasut tersebut dan mengajak rakannya itu datang ke rumah untuk melihatnya sendiri.
Sedikit back-story, Fariz telah membeli kasut tersebut di sebuah kedai di Peninsula Plaza, Singapura pada tahun 2007 ketika sedang bekerja di sana. Sayangnya saiz kasut tersebut (US9) sedikit kecil untuk Fariz yang memakai saiz US10 namun kerana hanya saiz US9 itu sahaja yang tinggal, Fariz tetap membelinya dengan harga lebih kurang SGD140 (~RM430) kerana tertarik dengan warna serta corak kasut itu.
Apabila rakannya tiba, Fariz mengeluarkan kasut tersebut dan ternyata kasut tersebut masih dalam keadaan baik, berkondisi 8/10 dengan sedikit kotoran namun masih lengkap dengan kotak & tali tambahan (extra laces) nya sekali. Fariz kemudian bertanya kepada rakannya itu samada beliau mahu membeli kasut itu daripadanya. Setelah berbincang, Fariz menawarkan harga RM1,500 kerana baginya kasut itu pasti sukar untuk didapati di pasaran kerana sudah berusia hampir 13 tahun.
Rakannya bersetuju dan kemudian membuat penyelidikan tentang kasut tersebut. Hasilnya, rakannya itu kemudian memberitahu Fariz bahawa dia tidak jadi membeli kasut tersebut dengan harga RM1,500, kerana harga pasaran bagi kasut tersebut sekarang adalah terlalu jauh berbeza dengan harga yang Fariz tawarkan.
Mereka kemudian memberitahu kenalan rapat masing-masing tentang kewujudan kasut tersebut dan dalam masa beberapa hari sahaja, kasut tersebut berjaya dijual kepada seorang pembeli dengan harga RM23,000! Ya, dua puluh tiga ribu ringgit Malaysia!
Mengapa model ini mahal?
Anda mungkin tertanya-tanya mengapa seseorang itu mahu membayar RM23,000 untuk sepasang kasut terpakai keluaran tahun 2007 yang pada asalnya berharga RM430 sahaja? Ini kerana rupa-rupanya kasut tersebut mempunyai sejarah yang sangat menarik.
Kasut Nike Dunk Low Premium SB (Skateboarding) dengan gabungan warna Taupe/Chrome itu sebenarnya adalah lebih dikenali sebagai Nike Dunk SB ‘Freddy Krueger’. Nama itu diambil kerana kasut ini adalah direka sebagai penghormatan kepada watak utama dalam siri filem seram A Nightmare on Elm Street yang popular pada tahun 1980-an dahulu.
Namun usaha Nike ini dilakukan tanpa mendapat persetujuan New Line Cinema, iaitu penerbit dan pemilik hak cipta bagi semua filem dan watak di dalam siri filem A Nightmare on Elm Street. Pihak New Line Cinema telah mengeluarkan surat dengan perintah cease and desist kepada Nike untuk menghentikan pengeluaran kasut ini dan mengarahkan Nike untuk menghapuskan setiap pasang kasut Freddy Krueger yang telah dihasilkan dengan cara membakarnya.
Dalam kekalutan ini, terdapat sejumlah kecil yang telah ‘terlepas’ dan diedarkan terlebih dahulu kepada pengedar-pengedar sah Nike yang tidak dimaklumkan tentang hal ini dan telah dijual sebelum upacara pembakaran dijalankan. Terdapat juga sejumlah kecil ‘Freddy Krueger’ yang telah ‘diselamatkan’ oleh staf Nike sebelum yang selebihnya dibakar hangus.
Kasut-kasut Freddy Krueger yang berjaya diselamatkan ini digelar sebagai “Freddy Krueger – Oiled Pair” di mana terdapat kesan-kesan minyak yang digunakan untuk proses pembakaran pada kasut-kasut ini. Ini menjadikan setiap pasang “Freddy Krueger – Oiled Pair” itu unik dengan kesan minyak yang berbeza antara setiap pasang.
Model Freddy Krueger ini adalah sangat sukar didapati hinggakan perekanya iaitu Todd Bradtrud sendiri tidak memiliki sepasang pun kasut Freddy Krueger yang lengkap, di mana beliau hanya memiliki dua belah kiri versi prototype-nya sahaja. Ternyata sejarah kasut Nike Dunk Low Premium SB ‘Freddy Kruger’ ini membuatkan ia adalah antara kasut yang paling dicari-cari oleh para sneakerheads.
Pencarian di laman-lawan web yang menjual kasut-kasut sebegini menunjukkan harga jualan bagi sepasang ‘Freddy Krueger’ dalam keadaan baru dan belum dipakai boleh mencapai ratusan ribu ringgit bergantung kepada saiz!
Fariz berkata ia adalah seperti rezeki yang tidak dijangka kerana beliau sebenarnya memang sudah terlupa dengan kewujudan kasut tersebut di rumahnya. Hasil jualan kasut ini membolehkan beliau kembali ‘bernafas’ untuk menyara keluarga selepas pendapatan bulanan terkesan akibat PKP.
Ternyata sejarah atau cerita di sebalik sesuatu itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Tidak hairanlah jika pelbagai barangan lama atau vintage mampu mencapai harga jualan yang sangat tinggi. Apa-apa pun tahniah kepada Fariz kerana telah berjaya mendapat keuntungan yang tidak disangka-sangka hasil dari harta karun yang ditemuinya hanya di dalam stornya sendiri.
Ini pula kisah kasut Nike Air mag yang rare rare yang tersimpan dalam stor. Baca lagi pada pautan di bawah.
6 Pasang Nike Air Mag Bernilai Ratusan Ribu Ringgit Dijumpai Dalam Stor Terbiar
Nike SB Kembali Popular, Kasut Berharga RM389 Ini Dijual Kembali Setinggi RM6,500
Kerana ‘Terlalu Pantas’ Kasut Nike Ini Mungkin Diharamkan Di Olimpik