Sarawak kini membuka banyak peluang kerja untuk pekerja mahir dari Indonesia. Ini menjadi lebih mudah dengan adanya perjanjian baru yang akan mempercepat dan melancarkan urusan kemasukan mereka ke Sarawak, termasuk bagi mereka yang berprofesional.

Memetik laman iloveborneo, bermula Julai ini, Sarawak dan Indonesia akan menandatangani perjanjian penting yang akan mengubah cara pekerja Indonesia datang ke Sarawak.

Perjanjian ini bukan sahaja untuk pekerja ladang, malah juga akan membuka peluang kepada golongan profesional seperti jurutera dan doktor haiwan dari Indonesia untuk bekerja di Sarawak.

Indonesia
Sumber Gambar: mi-ficord official website

Menteri Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom, berkata perjanjian ini akan memudahkan permohonan visa kerja (calling visa).

Sebelum ini, orang yang memohon visa perlu berurusan dengan dua jabatan berbeza (Jabatan Imigresen dan Jabatan Buruh Sarawak), menjadikan proses itu lambat dan melecehkan. Dengan MoU ini, ia akan jadi lebih mudah.

“Perbincangan kami bersama Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Abdul Kadir Karding, memberi tumpuan kepada penyelarasan proses supaya lebih teratur, sah dan pantas,” katanya selepas menerima kunjungan hormat dari pihak Indonesia di Bangunan DUN Sarawak.

Banyak lebihan tenaga kerja dari seberang

Abdul Kadir pula menyatakan yang Indonesia sedia hantar pekerja ke Sarawak, mengikut jenis pekerjaan yang diperlukan. Ini kerana Indonesia ada lebih 152 juta penduduk, dan ramai antara mereka sudah dilatih untuk bekerja di peringkat antarabangsa.

Indonesia kini lebih fokus untuk mengurangkan jumlah pekerja yang tidak berdaftar atau tidak sah. Mereka akan melakukannya dengan memperbaiki sistem dalaman mereka sendiri dan juga melalui kerjasama dengan negara lain(seperti Sarawak).

“Kami mahu kurangkan penghantaran pekerja secara tidak sah. Ini bukan hanya isu undang-undang, tetapi melibatkan keselamatan dan perlindungan pekerja itu sendiri,” katanya.

Kedua-dua Sarawak dan Indonesia bersetuju bahawa pekerja yang tiada dokumen sah itu menyusahkan sebab susah nak jaga hak mereka dan boleh timbulkan macam-macam masalah sosial serta undang-undang.

Dengan kerjasama melalui perjanjian ini, diharapkan proses akan jadi lebih mudah dan mereka dapat cipta dasar bersama yang lebih kuat untuk melindungi hak pekerja, tak kira mereka bekerja di ladang ataupun di pejabat.