Dengan pengukuhan nilai wang Singapore Dollar (SGD), warga Singapura dilihat sering datang ke Malaysia untuk mendapatkan barangan di pusat beli belah mewah dan juga menikmati makanan tempatan yang sedap.

Namun, dapatan baharu mendedahkan bahawa mereka bukan sahaja gembira datang melawat ke Malaysia, malah kini menunjukkan minat untuk menetap di sini selepas bersara.

Satu Daripada Tiga Rakyat Singapura Berminat Jadikan Malaysia Sebagai Tempat Persaraan
Sumber Gambar: KL Tower

Menurut tinjauan Business Times, mereka mendapati satu daripada tiga rakyat Singapura bakal pertimbangkan dan berminat memilih Malaysia sebagai destinasi persaraan. Ini adalah satu lonjakan yang ketara, dan ia mempunyai banyak kaitan dengan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Daniel Yap, yang mengendalikan sebuah agensi MM2H, berkata terdapat peningkatan minat daripada rakyat Singapura, manakala seorang broker bernama Iwin Tay dakwa melihat lebih ramai rakyat Singapura membeli rumah di Malaysia.

Sehingga 31 Januari, terdapat 56,066 pemegang pas MM2H aktif, dan rakyat Singapura merupakan sebahagian besar daripada jumlah itu.

Inisiatif MM2H direka khas untuk membolehkan warga asing menetap di Malaysia secara jangka panjang, menawarkan laluan untuk pesara menikmati tahun keemasan mereka dalam persekitaran yang harmoni serta penuh adat resam dan berdaya maju dari segi ekonomi.

Sementara laporan FMT turut ada menemu bual beberapa warga Singapura mendapatkan pandangan dalam perihal ini, Ramasamy, 85, dan isterinya Rama Devi, 76, menjadi contoh pemohon Singapura yang mahu menetap di sini selepas bersara.

Pada mulanya berpindah ke Malaysia pada 1994 untuk bekerja, bagaimanapun mereka memutuskan untuk kekal selepas Ramasamy bersara pada 2019.

Bagi kebanyakan rakyat Singapura, tarikan besar untuk bersara di Malaysia termasuk persamaan budaya dan harga hartanah yang jauh lebih murah

Latifah Moore, 55, dan suaminya, misalnya, mendapati kos sebuah rumah di Malaysia jauh lebih murah berbanding di Singapura.

Di Singapura, rumah yang layak boleh menelan kos sekurang-kurangnya S$3 juta (RM10.3 juta), yang tidak dapat dicapai oleh ramai orang. Latifah kini tinggal di sebuah banglo di Malaysia yang lebih murah daripada kondo lamanya di Singapura.

“Di Singapura, rumah yang layak akan menelan belanja sekurang-kurangnya S$3 juta (RM10.3 juta). Ia bukan sesuatu yang kita mampu,” kata Latifah.

Idea untuk bersara di Malaysia semakin berkembang. Agensi Yap, Exodus MM2H, mendapat lebih banyak pertanyaan daripada rakyat Singapura, berikutan kos sara hidup yang lebih rendah dan harga hartanah yang lebih murah.

Tay juga menyatakan bahawa lebih ramai rakyat Singapura membeli rumah di tempat seperti Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Melaka. Kos sara hidup dan harga hartanah jauh lebih rendah, membolehkan pesara menikmati gaya hidup yang lebih selesa.

Persamaan budaya dan geografi yang berjiran turut menyumbang kepada minat mereka untuk datang ke sini. Rakyat Singapura dan Malaysia berkongsi banyak aspek budaya, dan berpindah ke Malaysia bukanlah satu lompatan yang besar.

Pesara yang lebih muda dalam lingkungan 50-an cenderung kepada kondo Malaysia, yang menawarkan kemudahan seperti gim, kolam renang dan kedai serbaneka – perkara yang tidak selalu tersedia di kondo standard Singapura.

Kemasukan pesara Singapura telah memberi kesan positif kepada pasaran hartanah dan ekonomi Malaysia. Tay juga menekankan bahawa trend ini membawa wang Singapura ke Malaysia, memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

Ditambah pula Malaysia tersenarai antara negara paling selamat untuk bersara di dunia, sekaligus menarik perhatian orang luar negara yang berusia mahu menghabiskan sisa hayatnya di sini.