Gangguan teknologi yang besar telah menyebabkan kekacauan di beberapa negara termasuk Malaysia, dengan syarikat penerbangan, perkhidmatan kerajaan, bank, pasar raya, telekomunikasi dan media antara yang terjejas, lapor Al Jazeera.
Punca gangguan ini belum dapat disahkan, tetapi ia berlaku beberapa jam selepas Microsoft mengumumkan sedang menangani isu yang menjejaskan akses kepada aplikasi dan perkhidmatan Microsoft 365.
Gangguan tersebut dikaitkan dengan CrowdStrike, sebuah firma keselamatan siber perisian yang digunakan oleh industri di seluruh dunia untuk melindungi daripada digodam.
Masalah ini dilaporkan menyebabkan kerosakan pada mesin yang menjalankan sistem operasi Microsoft Windows.
CrowdStrike menyatakan bahawa mereka sedar tentang laporan kerosakan sistem operasi Windows.
Di Amerika Syarikat, syarikat penerbangan utama seperti Delta, United dan American Airlines terpaksa menghentikan operasi pada pagi Jumaat akibat masalah komunikasi, menurut kemas kini oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Di Australia, skrin maklumat penerbangan di lapangan terbang Sydney tidak kelihatan dan mesin pembayaran di rangkaian pasar raya Woolworths dan Coles menunjukkan mesej ralat.
Lapangan terbang di United Kingdom, Jerman, Malaysia dan Filipina juga melaporkan gangguan teknologi kepada perkhidmatan.
Kesan Kepada Malaysia
Para penumpang AirAsia diminta bersedia dengan sebarang kesulitan dalam urusan tempahan dan daftar masuk penerbangan, lapor The Star.
Ini berikutan gangguan pada sistem tempahan dan daftar masuk syarikat penerbangan itu, yang berpunca daripada masalah perkhidmatan awan Microsoft.
Dalam satu hantaran di platform media sosial X, AirAsia menyatakan bahawa para penumpang mungkin akan mengalami proses daftar masuk yang lebih perlahan dan barisan yang lebih panjang.
Namun begitu, pihak syarikat berusaha sedaya upaya untuk menangani situasi ini dengan segera.
Selain itu, Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini mengesahkan bahawa Sistem Tiket Bersepadu KTMB (KITS) serta semua saluran perkhidmatan pelanggan mereka terjejas akibat gangguan IT global, lapor BERNAMA.
Dalam satu hantaran di Facebook, KTMB menyatakan bahawa kerja-kerja pemulihan sedang giat dijalankan untuk membetulkan gangguan teknikal tersebut.