Setakat 31 Disember 2023, seramai 2,716,110 peminjam masih belum bayar semula RM32.29 bilion pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), lapor Utusan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan RM71.3 billion yang telah dipinjamkan oleh badan itu.
Baca Juga:
- Komitmen Kewangan Kerajaan Besar, Sukar Mansuhkan Hutang PTPTN
- Tak Bayar Hutang PTPTN RM6 Bilion, 430,000 Peminjam Bakal Berdepan Tindakan
- ‘Tengok Abang Kakak Hutang PTPTN Sampai RM50K Punca Gen Z Tak Nak Sambung Belajar’
“Sehingga tempoh tersebut, PTPTN sudah meluluskan 3,951,404 pinjaman kepada pelajar warga Malaysia yang layak,” kata beliau dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah hutang keseluruhan yang terkumpul oleh pelajar di bawah pinjaman PTPTN setakat tahun lalu.
Memetik laporan itu lagi, 71.9 peratus (2,842,682 peminjam) terdiri daripada bumiputera manakala 28.1 peratus (1,108,722 peminjam) adalah dalam kalangan pelajar bukan bumiputera.
Pada September lalu, Zambry dilaporkan berkata, PTPTN akan mengambil tindakan terhadap 430,000 peminjam yang tidak pernah membayar hutang membabitkan jumlah RM6 bilion.
Kata beliau, sikap tidak bertanggungjawab pihak terbabit mengakibatkan kedudukan kewangan PTPTN kini berada di tahap membimbangkan.
Difahamkan sebahagian daripada peminjam itu didapati sudah bergraduasi sejak berpuluh tahun lalu dengan ada di antara mereka gagal membuat pembayaran walau satu sen pun.
“Ini kategori yang tak peduli sejak hari pertama dia keluar (dari universiti), dia tak maklumkan keadaan dia, di mana dia bekerja, bagaimana dia nak (buat pembayaran semula), sepatutnya perlu bincang. Mereka tidak peduli langsung untuk bayar,” kata Zambry.