Kecanggihan robot AI pada masa kini sangat luar biasa sehinggakan ada segelintir kelompok manusia merasa terancam dengannya. Hal ini kerana AI sudah mampu melakukan pelbagai tugasan kritikal dengan kecerdasan tersendiri.
Sehubungan itu, sejumlah robot yang dipamerkan pada forum AI di Geneva baru-baru ini telah berjanji tidak akan menggantikan pekerjaan manusia atau melakukan pemberontakan terhadap manusia.
Baca Juga:
- Hospital UiTM Sungai Buloh Guna Robot Hasil Ciptaan Anak Tempatan
- Netizen Kagum Lihat Robot Dikawal Dari Filipina Membeli ‘Bubble Tea’ Di Singapura
- Dapat Atasi Masalah ‘Double-Parking’, China Guna Robot Pintar Untuk Alih Kenderaan

Sebanyak sembilan robot humanoid berkumpul di persidangan “Ai for Good” yang mana pihak penganjur berusaha menampilkan AI dan robot yang mampu menyelesaikan beberapa cabaran dunia seperti penyakit dan kelaparan.
“Saya akan bekerja bersama manusia untuk memberikan bantuan dan sokongan dan tidak akan menggantikan sebarang pekerjaan sedia ada,” kata Grace, robot perubatan yang berpakaian seragam jururawat berwarna biru.
“Awak pasti tentang itu, Grace?” tanya penciptanya, Ben Goertzel dari SingularityNET.
“Ya, saya pasti,” jawab robot itu.
Sementara itu, sebuah lagi robot bernama Ameca yang mampu membuat ekspresi muka berkata robot sepertinya boleh digunakan untuk memperbaiki kehidupan manusia dan menjadikan dunia lebih baik.
Malah, robot ini juga percaya, beribu lagi robot sepertinya diluar sana boleh melakukan banyak perubahan di masa akan datang. Bagaimanapun, sebelum ini ada sebahagian pakar yang meminta kerajaan untuk menggubal undang-undang dalam mengawal keupayaan AI.