Warna ikonik kelabu pada tidak dapat dipisahkan dengan kumpulan pengakap. Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memperkenalkan pakaian seragam baharu yang lebih segar sejajar dengan perkembangan dunia kepengakapan moden pada era ini.
Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, pakaian seragam yang terdiri daripada baju berwarna emerald sea dan seluar aspen green disifatkan lebih menarik dan efektif dengan reka bentuk baharu.
Baca Juga:
- Tunku Azizah Terharu Dapat Pengiktirafan Tertinggi Pandu Puteri
- Bukan Sekadar Kostum, ‘Spider-Man Perlis’ Akui Pernah Disengat Labah-Labah Sewaktu Kecil
- Lelaki Terkejut Peniaga Baju Melayu Sengaja Naikkan Harga Cecah RM350 Untuk Warna ‘Hot’ Tahun Ini
Menurutnya, keputusan menukar pakaian seragam adalah satu langkah yang efisien bagi memastikan pergerakan kepengakapan negara sentiasa relevan dan dinamik dalam menyokong pembangunan golongan muda.
Katanya, pertukaran pakaian saragam baharu antara lain dapat membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa di pasaran.
“Selepas 63 tahun tidak tampil dengan pakaian seragam baharu, PPM dengan sukacitanya mengumumkan pertukaran warna pakaian seragam kepada warna yang lebih segar dan moden yang dinamakan Pakaian Seragam Pengakap No. 3.
“Selain memberikan wajah baharu kepada pergerakan pengakap, langkah ini juga menjadi mekanisme baharu yang penting dalam usaha kita untuk mengawal dan membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa,” katanya.
Ganti pakaian seragam lama secara berperingkat

Menurutnya, PPM akan memberi kelonggaran kepada ahli untuk menggantikan pakaian seragam lama kepada yang baharu secara berperingkat.
“PPM ingin menekankan bahawa pelaksanaan pertukaran pakaian seragam ini tidak akan membebankan ibu bapa atau ahli. Proses ini akan dilaksanakan secara berfasa, dan pakaian seragam lama masih boleh digunakan dalam tempoh peralihan iaitu tiga tahun lagi.
“Tiada paksaan kepada mana-mana ahli untuk menukar pakaian seragam mereka. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, mereka boleh memakai skarf untuk menyertai sebarang aktiviti,” katanya.
Sementara itu, PPM berharap pertukaran pakaian seragam baharu dapat menarik lebih ramai ahli baharu sekali gus mempertingkatkan pertumbuhan keahlian.
“Pakaian seragam baharu ini adalah lambang identiti dan kebanggaan bagi setiap ahli PPM. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk menghargai dan memelihara pakaian seragam ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.