Selepas melarang penjualan iPhone 16, kerajaan Indonesia menerapkan peraturan sama terhadap satu lagi jenama telefon pintar dari Amerika Syarikat iaitu Google Pixel.
Menurut laporan, langkah itu diambil selepas kegagalan Google untuk memenuhi peraturan yang menghendaki sekurang-kurangnya 40% daripada komponen dalam telefon pintar yang dijual di Indonesia dipasang dalam negara itu.
Baca Juga:
- Jakarta Larang iPhone 16 Dijual Selagi Apple Tidak Melabur Di Indonesia
- Rusia Tuntut Google Bayar Denda RM95,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000
- ‘Nampak Cantik Di Google, Tak Tahu Logo Elephant Army Dah Trademark’ – Suami Kieda Crepe
“Peraturan kandungan tempatan dan dasar berkaitan dibuat untuk keadilan bagi semua pelabur yang melabur di Indonesia dan untuk mewujudkan nilai tambah dan memperdalam struktur industri di sini,” kata jurucakap Kementerian Perindustrian, Febri Hendri Antoni Arief kepada pemberita tempatan.
“Produk Google tidak mematuhi skim yang kami tetapkan, jadi ia tidak boleh dijual di sini,” tambahnya.
Seperti iPhone 16, pengguna di Indonesia masih boleh membeli telefon Pixel Google dari luar negara, walaupun kementerian memberi amaran bahawa mereka wajib membayar cukai yang dikenakan.
Selain itu, sebarang peranti yang dijual secara haram di negara itu akan berdepan tindakan seperti dinyahaktifkan.
Sebelum ini, Menteri Perindustrian Indonesia, Agus Gumiwang Kartasasmita, mendedahkan Indonesia masih menangguh penjualan iPhone 16 di negara itu kerana Apple, masih belum memenuhi komitmen pelaburan sebanyak Rp235 bilion.
Pelaburan ini penting kerana ia membolehkan Apple mendapatkan sijil komponen domestik, atau Tingkat Komponen Dalam Negeri (TKDN), yang diperlukan untuk menjual iPhone 16 di pasaran Indonesia.
Difahamkan bahawa sijil TKDN milik Apple telah tamat tempoh, dan proses pembaharuan bergantung pada syarikat yang diwajibkan memenuhi komitmen pelaburan.
Di bawah peraturan Indonesia—khususnya Peraturan Kementerian Perindustrian Nombor 29 Tahun 2017—sijil TKDN menggunakan tiga skim pelaburan: mengeluarkan produk dalam negara, membangunkan aplikasi tempatan, atau mencipta produk inovatif dalam negara.
Situasi ini memberi potensi besar kepada Malaysia yang mampu menarik minat pengguna teknologi Indonesia yang tidak sabar-sabar untuk mendapatkan model iPhone atau Google Pixel terbaharu sebelum ia dilancarkan secara rasmi di negara asal mereka.