Berdasarkan laporan terkini dari Henley & Partners bersama New World Wealth, kita kini dapat melihat dengan jelas bandar-bandar yang menjadi ‘syurga jutawan’.
Laporan ini menyusun senarai 10 kota terkaya di dunia berdasarkan bilangan jutawan yang tinggal di dalamnya, khususnya mereka yang memiliki aset bersih lebih dari satu juta dolar Amerika Syarikat.
Tapi apa sebenarnya yang membuatkan sesebuah bandar itu begitu menarik buat para jutawan? Jawapannya mudah, ekosistem bisnes yang mesra, kestabilan ekonomi, cukai yang menarik, serta gaya hidup yang berkualiti tinggi.
New York Masih Tak Terkalahkan
Bandar yang berada di tangga teratas sudah tentu New York — dengan lebih 384,000 jutawan dan 66 bilionair menetap di situ.

Tak hairanlah, dengan kehadiran Wall Street dan pelbagai industri besar seperti media, teknologi dan hartanah mewah, New York terus menjadi magnet utama untuk kekayaan dunia.
Silicon Valley dan Tokyo – Inovasi Bertemu Kekayaan
Di tempat kedua pula adalah The Bay Area, termasuk San Francisco dan Silicon Valley.
Teknologi menjadi pemacu utama pertumbuhan kekayaan di sini, dengan kehadiran syarikat gergasi seperti Apple, Google dan Meta. Malah, bilangan jutawan di sini melonjak hampir 98% dalam sedekad.

Tidak ketinggalan, Tokyo turut tersenarai sebagai bandar Asia paling kaya, dengan lebih 298,000 jutawan menetap di situ.
Tokyo terus menjadi contoh bandar yang menggabungkan inovasi teknologi dengan struktur korporat yang stabil.
Singapura, Satu-Satunya Wakil Asia Tenggara
Singapura adalah satu-satunya bandar dari Asia Tenggara dengan lebih 244,000 jutawan.
Faktor seperti keselamatan, sistem pendidikan tinggi, infrastruktur kelas dunia dan cukai rendah menjadikan Singapura destinasi pilihan ramai jutawan.

Ianya juga menunjukkan betapa negara kecil boleh menjadi kuasa besar dalam dunia kewangan.
Kuala Lumpur… Tunggu Giliran?
Sayangnya, Kuala Lumpur masih belum berada dalam kelompok 10 teratas. Namun itu tidak bermakna ibu kota Malaysia tidak punya potensi.
KL semakin giat membina ekosistem startup, infrastruktur moden dan menarik pelabur asing.
Cabaran terbesar mungkin terletak pada kestabilan polisi ekonomi, sistem cukai, serta kemudahan untuk bisnes antarabangsa berkembang.
Untuk jadi destinasi utama jutawan, sesebuah bandar perlu lebih dari sekadar pencakar langit — ia perlu menawarkan gaya hidup yang sesuai untuk mereka yang mahu berkembang bersama kekayaan.