Nama Leia Mayssa bukanlah asing lagi apabila beliau pernah mencipta sejarah negara dengan menjadi satu-satunya wakil Malaysia dan Asia Tenggara yang terpilih untuk menyertai Math Beyond Limits (MBL), sebuah kem Matematik Antarabangsa Berprestasi Tinggi di Poland pada tahun 2024 lalu.
Terbaharu, dalam satu hantaran Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pihak universiti mengucapkan tahniah kepada Leia yang berjaya mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat.
Baca Juga:
- Adik Leia Mayssa Rakyat Malaysia Pertama Wakili Asia Tenggara Ke Kem Matematik Antarabangsa
- Budak Genius Cipta Sejarah Masuk Universiti Malaya Di Usia 12 tahun
- ‘Bersyukur Masih Ada Pelajar Pandai Di Malaysia’ – Remaja Sekolah Johor ‘Score’ Sejarah 100 Peratus Raih Pujian
MIT merupakan sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka di Amerika Syarikat yang terkenal dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
Universiti ini juga telah melahirkan ramai pemenang Hadiah Nobel, usahawan teknologi, dan saintis terkenal di dunia.

Menurut hantaran UKM lagi, pelajar itu akan menyambung pengajian dalam bidang Sains Komputer bagi Sesi Akademik tahun 2025 selepas mendapat keputusan PERMATA@Pintar High School Diploma yang cemerlang.
Selain UKM, Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) MARA turut mengucapkan tahniah atas berita tersebut.
Leia Mayssa capai pelbagai kejayaan luar biasa

Pada masa sama BPT MARA turut berkongsi kejayaan luar biasa yang dikecapi oleh Leia sebelum ini.
“Leia telah mewakili Malaysia dalam International Mathematical Olympiad (IMO) 2022-2024, yang berlangsung di Oslo, Norway (2022), Chiba, Japan (2023), dan Bath, United Kingdom (2024).
“Sepanjang penyertaannya, Leia berjaya merangkul 1 pingat gangsa dan 2 Honorary Mentions, membuktikan keunggulannya dalam bidang Matematik peringkat dunia,” kongsi BPT MARA.

Kemudian Leia turut terpilih untuk menyertai Kem Matematik Antarabangsa, Maths Beyond Limits di Rycerka Dolna, Poland pada 8 – 21 September 2024.
Menurut BPT MARA, kem itu menghimpunkan 60 pelajar cemerlang dari 32 negara yang berkongsi minat mendalam dalam Matematik dan membina jaringan global dalam komuniti tersebut.
Netizen bangga kejayaan Leia Mayssa
Menerusi hantaran Facebook Pusat PERMATApintar Negara UKM, netizen membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan meluahkan rasa bangga dengan kejayaan pelajar tersebut.
Ramai berharap agar Leia Mayssa dapat terus mengukir kejayaan baharu dan akan pulang ke Malaysia menabur bakti membangunkan tanah air.