Dalam laporan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang diterbitkan oleh Transparency International, dunia sekali lagi diberi peluang melihat sejauh mana bersih atau kotornya sektor awam di 180 negara dan wilayah.

Skala penilaian CPI ini bergerak dari 0 hingga 100, di mana 0 menunjukkan tahap korupsi yang sangat parah, manakala 100 pula melambangkan kebersihan hampir sempurna dari gejala ini.

Tahniah Jiran Kita, Singapura

Tahniah besar diberikan kepada Denmark yang berjaya mengekalkan gelaran sebagai negara paling bersih daripada rasuah dengan skor mengagumkan, 90.

Rasuah
Sumber: The Star

Menyusul rapat ialah Finland dengan skor 88, dan jiran terdekat kita yang selalu menjadi rujukan dalam banyak hal, Singapura, yang kukuh di tempat ketiga dengan skor 84.

Singapura bukan sahaja menunjukkan prestasi ekonomi yang luar biasa, tetapi juga membuktikan bahawa integriti dalam sektor awam mampu membawa negara ke tahap dunia pertama.

10 Negara ‘Terpaling’ Rasuah

Di sebalik kisah kejayaan ini, ada pula negara-negara yang bergelut dalam kancah rasuah kronik.

Sudan Selatan berada di tangga paling bawah dengan skor hanya 8, diikuti Somalia dan Venezuela.

Rasuah
Sumber: CNN

Nama-nama seperti Syria, Yaman, Libya, Eritrea, Equatorial Guinea, Nikaragua dan Sudan turut tersenarai dalam kelompok 10 negara paling rasuah di dunia tahun ini.

Sebahagian besar negara ini berdepan konflik bersenjata, ketidakstabilan politik, dan pemerintahan autoritarian, yang menjadi tanah subur untuk rasuah berleluasa.

Malaysia Di Mana?

Malaysia pada tahun ini menduduki kedudukan ke-50, menurut CPI 2024.

Ia bukanlah prestasi yang membanggakan, tetapi tetap menunjukkan Malaysia masih berada di tengah-tengah — tidak terlalu teruk, namun masih jauh untuk diletakkan sebaris dengan negara-negara yang bersih dari rasuah.

Rasuah
Sumber: Harian Metro

Sebagai perbandingan, Singapura di ranking ketiga dunia dengan skor 84, Vietnam pula di kedudukan ke-40, manakala Indonesia sedikit lebih baik di kedudukan ke-37.

Meskipun Indonesia pernah bergelut dengan isu korupsi besar-besaran, kini mereka menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh beberapa tahun terakhir.