Dalam hidup ini, kalau nak sesuatu barangan idaman yang mahal, kita sememangnya perlu berusaha keras untuk mencapainya.

Namun, ramai individu yang kurang berkemampuan pilih untuk mengambil jalan mudah tanpa memikirkan akibat di kemudian hari. Ini termasuklah mengambil pinjaman walaupun tidak layak dari tingkat gaji yang sedia ada.

Memetik mStar, seorang lelaki telah meluahkan kekesalannya berhubung penipuan yang dilakukan terhadap isteri tersayang demi memenuhi nafsu dalam mendapatkan kereta idaman.

Siap Mengaku Kerja Kerajaan, Pemandu e-Hailing Kesal Perdaya Isteri Untuk Buat 'Loan' Beli Honda
Sumber Gambar: Motoring Malaysia

Difahamkan lelaki terbabit mendedahkan dirinya sudah bergelar suami sejak dua tahun lalu serta membuat pengakuan dia sebenarnya telah menipu isteri tentang pekerjaannya.

“Saya ada masalah yang sangat besar sekarang ni. Saya dah dua tahun nikah. Apa yang isteri saya tahu bahawa saya kerja kerajaan.

“Sebenarnya saya kerja memandu XXX (e-hailing). Selama ni saya tipu dia untuk kesenangan hidup,” luahnya di grup Facebook.

Menurut lelaki berkenaan, dia pada mulanya menjangkakan dapat menambah pendapatan berlipat kali ganda pada tahun ini dengan hasil pendapatan sebagai pemandu e-hailing.

Oleh kerana terlampau yakin, dia nekad membeli kereta baharu dengan bantuan isterinya untuk membuat pinjaman bank.

“Saya buat loan atas nama isteri… saya beli Honda Accord untuk buat e-hailing,” ujarnya.

Namun nasib tidak menyebelahinya apabila segala yang dirancang tidak menjadi seperti yang disangka. Lebih memburukkan keadaan lagi apabila dia pula mengalami masalah kewangan sehingga bayaran balik pinjaman kereta tertunggak selama dua bulan.

“Sekarang dah dua bulan tersangkut payment,” katanya.

Meskipun sudah diambang kesusahan, dia masih meneruskan penyamaran seperti pergi ke pejabat di hadapan isterinya walhal realitinya masih bekerja sebagai pemandu e-hailing apabila berada di luar rumah.

Siap Mengaku Kerja Kerajaan, Pemandu e-Hailing Kesal Perdaya Isteri Untuk Buat 'Loan' Beli Honda
Sumber Gambar: Tech in asia

“Saya keluar pakai kemeja acah-acah kerja gomen. Saya risau kantoi dengan isteri saya. Hutang dah sangat banyak,” luahnya yang buntu dengan masalah kewangan yang dihadapi.

Perkongsian luahan tersebut sememangnya mengejutkan warga netizen yang mana tidak menyangka ada individu tergamak menipu isteri sendiri demi membuat pinjaman bank untuk membeli kereta idaman.

“Beli loan tak nak kalah, beli Accord. Kenapa tak beli Saga BLM je buat (e-hailing)? Tipu pula bini sendiri. Kena apa-apa menyesal tak sudah. Bini habis canang dah merata suami kerja gomen,” tulis seorang netizen.

“Dah la guna nama bini buat loan. Beli Honda Accord pula tu. Jual balik la kereta tu, guna Axia je. Hentikan keinginan nak kelihatan mewah. Masih sempat nak balik ke pangkal jalan,” komen seorang netizen lain.

“Dah kantoi baru gelabah cari jalan. Hidup ni jangan nak bergaya, asalkan makan pakai cukup,” luah seorang netizen.

Walaupun dikritik hebat oleh sebahagian besar netizen, masih sebahagian lain bersimpati dengan nasibnya dan memberi nasihat dalam mencari penyelesaian berikutan isu terbabit.