Aufahanie meminta warganet untuk berhenti berkongsi dan memadam gambar mayat abangnya, Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang ditemui di Sungai Klang di Klang yang tular di media sosial sejak semalam.

“Tolong. Tolong. Jangan kongsi gambar arwah abang saya yang ditemui ke media sosial anda. Sila padam, hormati perasaan kami sekeluarga. Terima kasih,” tulis penyanyi itu di Instagram Story akaun miliknya.

'Sila Padam Gambar Arwah Ketika Ditemui, Hormati Perasaan Kami Sekeluarga' – Aufahanie
Sumber Gambar: Instagram Story @aufahaniee

Pada malam semalam Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang, petang semalam adalah Muhammad Nidza Afham Mokhtar.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses selanjutnya.

Penyanyi lelaki berusia 23 tahun itu dilapor hilang selepas keluar berjoging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam.

Bagaimanapun dompet dan telefon bimbit milik Nidza Afham ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.

“Siasatan lanjut dari segi klasifikasi kes akan dibuat selepas mendapat hasil bedah siasat,” katanya ketika Datuk Hussein Omar dihubungi Bernama.