Kes kecurian dalam pesawat di Asia dilaporkan makin meningkat, dan ia bukan kes terpencil. Pihak berkuasa mendapati ia adalah kumpulan jenayah terancang yang bijak ‘main transit’. Malaysia turut terlepas daripadanya.
Penjenayah itu didapati naik penerbangan jarak pendek termasuk ke Singapura semata-mata untuk mencuri barang-barang kecil milik penumpang lain.
Memetik The Straits Times, Hong Kong antara yang paling parah, dengan 169 kes kecurian dalam kabin dilaporkan dari Januari hingga Oktober 2024.
Ia melibatkan barangan bernilai lebih HK$4.32 juta (sekitar RM2.6 juta) — meningkat 75% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam satu temu bual bersama The Straits Times, Penolong Pesuruhjaya M. Malathi, yang juga Komander Bahagian Polis Lapangan Terbang Singapura, mengakui kes sebegini memang susah nak kesan dan lagi susah nak siasat.

Modus operandi mereka? Dua orang sepasukan, menyamar macam penumpang biasa, sasarannya adalah mangsa yang leka.
Kemudian selepas mencuri, mereka terus terbang keluar dari Singapura dalam masa singkat, tak sampai sejam selepas mendarat di Changi.
“Mereka cuma ambil duit tunai dan mungkin satu dua kad. Mereka tidak akan ambil dompet penuh, sebab tu lebih mudah dikesan,” kata AC Malathi.
Memandangkan masa untuk bertindak sangat terhad, beliau tekankan laporan cepat sangat penting supaya pihak polis boleh cepat kesan, jejak dan tahan suspek sebelum mereka sempat cabut naik flight seterusnya.
Badan penerbangan antarabangsa, IATA, yang mewakili kira-kira 300 syarikat penerbangan, turut keluarkan amaran pada 3 Jun lalu tentang peningkatan kes kecurian dalam pesawat sejak 12 hingga 18 bulan kebelakangan ini.
Kes di Malaysia semakin meningkat

Malaysia mempunyai 146 kes dilaporkan dari Januari hingga Oktober 2024, berbanding 88 kes pada 2023 dan 33 kes pada 2022.
Pihak berkuasa Vietnam pula mendedahkan penjenayah tersebut suka beli tiket saat akhir, tidak check-in bagasi, dan rajin bertukar penerbangan dan laluan supaya sukar dikesan sistem.
Singapore Airlines (SIA) tidak dedahkan data rasmi, tetapi wakil mereka maklumkan kru kabin dah dilatih untuk pantau dan laporkan tingkah laku mencurigakan.
“Kalau ada kes kecurian, SIA dan Scoot akan bantu penumpang terlibat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa,” kata jurucakap kumpulan SIA.
Dalam mesyuarat IATA di India baru-baru ni, ramai percaya sindiket ni berpangkalan dari China. Polis Singapura pula tak dedahkan lokasi asal mereka, tetapi semakan oleh The Straits Times dapati 4 daripada 5 individu yang didakwa di mahkamah pada 2025 adalah warganegara China.
AC Malathi turut berkata, gelombang kes ni makin menjadi sejak sektor penerbangan global mula pulih lepas pandemik. “Kita tengok aktiviti sindiket makin aktif bila jumlah penerbangan kembali meningkat. Benda ni bukan berlaku di Singapura sahaja, ia adalah trend global,” katanya.
Penerbangan Malaysia-Singapura Antara Yang Jadi Sasaran

Antara Januari hingga Mei 2025, tiga individu didakwa di Singapura atas kesalahan mencuri dalam kapal terbang. Tahun sebelumnya, hanya satu kes saja direkodkan dalam tempoh sama.
Paling terbaru, dua warga China ditahan dan didakwa pada 4 Jun lalu selepas didapati mencuri dari penumpang dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Singapura. Liu Xitang, 35, dan Wang Wei, 40, dituduh ambil $169 dan dua kad debit daripada seorang penumpang lain.
Bulan Mei lepas, seorang lagi warga China, Zhang Kun, 51, mengaku bersalah mencuri kad kredit dan lebih $200 dalam penerbangan yang sama pada bulan Mac.
Polis Lapangan Terbang kini guna analisis data untuk kenal pasti individu yang mencurigakan — contohnya mereka yang selalu terbang jarak dekat dengan waktu transit 2-3 jam. Yang menariknya, aktiviti sindiket ni bukan eksklusif untuk kelas ekonomi saja, mereka beroperasi dalam semua kelas — dari ekonomi ke first class.
Kecurian Di Kedai Zon Transit Juga Meningkat
Selain kes dalam kabin, AC Malathi juga dedahkan satu lagi trend mencemaskan: pencuri yang masuk kedai dalam zon transit di Changi, ambil barang dan larikan diri. Dari Januari hingga Mei 2025, 37 kes direkodkan, dengan 109 kes sepanjang 2024 dan 129 kes pada 2023.
“Kes macam ni sangat oportunistik. Ada yang jalan masuk, ambil barang dan keluar macam tak ada apa-apa. Kalau tak ‘kantoi’ kali pertama, dia akan rasa makin berani,” katanya.