Dalam satu kenyataan yang cukup menggembirakan para pekerja, Singapore Airlines Ltd. mengumumkan pemberian bonus lumayan sebanyak 7 bulan gaji kepada kakitangannya, lapor SCMP.
Ini sebagai penghargaan atas usaha keras mereka sepanjang tahun, walaupun bonus kali ini sedikit rendah berbanding tahun lalu.
Syarikat penerbangan kebangsaan Singapura itu berjaya mencatat keuntungan bersih sebanyak S$2.78 bilion (sekitar RM9.7 bilion) untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac – lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis yang hanya menjangkakan S$2.4 bilion.
Pendapatan keseluruhan juga naik 2.8% kepada rekod baharu S$19.5 bilion, memintas jangkaan pasaran.

CEO Singapore Airlines Akui Bonus Tak Tinggi
CEO Goh Choon Phong berkata, walaupun bonus tahun ini sedikit menurun, ia masih mencerminkan komitmen syarikat dalam mengiktiraf usaha keras dan dedikasi para pekerja.
“Kami berterima kasih kepada semua warga kerja Singapore Airlines yang telah menunjukkan semangat luar biasa,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Namun, di sebalik berita gembira ini, syarikat turut memberi amaran tentang cabaran mendatang.
Singapore Airlines menjangkakan ketegangan perdagangan global, ketidaktentuan politik, serta perubahan dasar antarabangsa bakal menjejaskan permintaan untuk penerbangan penumpang dan kargo.