Penggemar durian di Singapura kini boleh menarik nafas lega kerana tidak lama lagi mereka boleh menikmati durian berkualiti tinggi dengan hanya membelinya di mesin layan diri atau ‘vending machine’.
Menurut laporan The Straits Times, penjual durian terkenal, Kaki Kaki, bakal memperkenalkan mesin layan diri durian yang akan ditempatkan di stesen MRT Tampines.
Mesin ini akan diisi dengan durian jenis premium Mao Shan Wang, yang dijamin segar dan berkualiti.
Menurut laporan, setiap kotak durian seberat 400g akan dijual pada harga biasa S$38 (RM125).
Namun, sempena promosi dari 24 Januari hingga 12 Februari, harganya hanya S$18.88 (RM62).
Durian akan diisi setiap hari, dan durian yang tidak terjual akan diproses menjadi puri untuk digunakan dalam pembuatan kek.
Kaki Kaki, yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam perniagaan durian, berusaha untuk menjadikan durian berkualiti tinggi lebih mudah diakses.
Menurut pengasas bersama Kaki Kaki, C.Y. Wong, mesin ini membolehkan operasi mereka menjadi lebih cekap sambil memastikan setiap durian dipilih dengan teliti.
“Kami bekerjasama rapat dengan petani durian di Malaysia, memotong peranan orang tengah untuk menjimatkan kos. Kami juga membeli secara pukal dan mengurangkan kos buruh dengan menggunakan operasi yang efisien,” kata Wong.
Selain MRT Tampines, Kaki Kaki sebelum ini telah melancarkan konsep mesin layan diri di beberapa kondominium seperti Parc Oasis di Jurong East, Casa Merah di Tanah Merah, dan Skypark Residences di Sembawang pada Disember 2024.
Mereka juga mempunyai gerai di Pasar Tiong Bahru.
Langkah inovatif ini bukan sahaja menawarkan kemudahan kepada penggemar durian, malah menjimatkan masa kerana anda tidak perlu beratur di gerai.
Ini juga membuktikan bahawa teknologi boleh digabungkan dengan makanan tradisional untuk pengalaman yang lebih moden dan mudah.