Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerima pengiktirafan tertinggi dalam kerjaya seninya apabila dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara 2024.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dalam majlis penuh gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang dianjurkan di Kuala Lumpur semalam.
Baca Juga:
- Kelihatan Seakan Gereja, Muzik Video Terbaharu Siti Nurhaliza Jadi Perhatian
- Ini Sebab Siti Nurhaliza Layak Dipilih Sebagai Pakar Di UMCCed
- Siti Nurhaliza Kunci Mulut Isu Pelantikannya Sebagai Pakar Di Universiti Malaya
- Siti Nurhaliza Bakal Dianugerahkan Gelaran Biduanita Negara
Siti Nurhaliza sejurus menerima Anugerah Khas Biduanita Negara terus bersalam dengan Ibu (Mak Salmah) dan Ibu Mertua (Mak Nab)#BiduanitaNegaraSitiNurhaliza #TahniahSitiNurhaliza #ASN2024 #SejarahSitiNurhaliza https://t.co/XI7xT2hG61 pic.twitter.com/NczuVKGOZi
— SEJARAH – SITI NURHALIZA (@BAD_ARSILA) November 13, 2024
Dalam ucapan beliau, Siti Nurhaliza merakamkan penghargaan kepada semua yang membantu dalam kerjaya seninya selama ini.
Beliau juga menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut merupakan anugerah yang besar untuk dirinya.
“Seni bukan semata-mata untuk mencipta nama tapi dapat dekatkan diri saya dengan masyarakat.
“Saya dapat bertemu peminat, pelbagai latar belakang, mendekati masyarakat pelbagai bangsa, memperkenalkan negara melalui persembahan di luar negara.
“Saya gembira kerana kerjaya seni ini telah mematangkan diri saya untuk memberikan inspirasi, contoh serta pengaruh yang baik dalam masyarakat.
“Apa yang saya harapkan agar satu hari nanti hasil seni jadi tanda atau prasasti untuk disantuni generasi muda akan datang,” katanya dalam video ucapan anugerah tersebut.
Perkembangan ini turut mengembirakan peminat dan mendapat pelbagai pujian daripada warga maya di media sosial.
Mereka berpendapat Siti Nurhaliza sememangnya layak digelarkan sebagai Biduanita Negara kerana kehebatannya sukar ditandingi dan cukup disegani dalam bidang seni.
Selaku penerima Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, beliau akan menerima wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
Siti Nurhaliza merupakan individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.