Skype merupakan platform yang cukup berjasa buat semua orang kerana menawarkan fungsi panggilan video yang serba canggih dengan akses percuma.
Selepas hampir 22 tahun menghubungkan individu di seluruh dunia, Skype ditutup secara rasminya pada 5 Mei semalam, menandakan berakhirnya era bagi salah satu pelopor komunikasi internet.

Untuk makluman, dilancarkan pada tahun 2003, Skype berjaya mengumpul lebih daripada 300 juta pengguna aktif bulanan pada puncaknya di pertengahan tahun 2010-an.
Kenapa Skype terpaksa tamatkan perkhidmatan?
Pada tahun 2011, Microsoft mengambil alih Skype dengan harga $8.5 bilion, dengan tujuan untuk menjadikannya bahagian utama dalam strategi komunikasinya.
Namun, apabila pesaing seperti WhatsApp, Zoom, dan akhirnya Teams milik Microsoft sendiri semakin popular, populariti Skype langsung merosot.
Pada 28 Februari, Microsoft menyatakan akan menamatkan perkhidmatan Skype pada 5 Mei untuk menyelaraskan perkhidmatannya dan mengutamakan Teams untuk komunikasi dan kolaborasi.
Penutupan ini akan memberi kesan kepada pengguna Skype percuma dan berbayar, tetapi Skype for Business akan diteruskan buat sementara waktu.
Apa yang terjadi dengan data penguna sedia ada?
Microsoft telah menggesa pengguna untuk beralih ke Teams dengan melayari skype.com dan menggunakan ciri “Mula menggunakan Teams”. Semua sembang dan kenalan Skype akan kekal boleh diakses melalui Teams menggunakan kelayakan log masuk yang sama.
Pengguna mempunyai sehingga Januari 2026 untuk memuat turun atau memindahkan data mereka sebelum pemadaman kekal.
Dengan ini berakhir era Skype dan legasinya disambung dengan platform alaf baharu yang dikenali sebagai Team. Team mempunyai fungsi yang lebih canggih dan integrasi yang meluas.
Ringkasnya, Microsoft percaya bahawa dengan memberi fokus kepadanya dan terus membangunkan Microsoft Teams sekaligus memberikan pengalaman komunikasi dan kolaborasi yang lebih baik dan lebih bersepadu untuk penggunanya dalam jangka masa panjang.