Kematian calon SPM, Zaharif Affendi Muhd Zamrie di Ipoh baru-baru ini telah menggemparkan seluruh negara. Tindakan seorang pegawai polis, Mohd Nazri Abdul Razak yang berang dengan tindakan mangsa telah membawa kepada tragedi berdarah, manakala suspek pula kini sudah ditahan dan berada dalam prosiding mahkamah.

Tragedi berdarah ini telah membawa kepada satu episod duka kepada seluruh rakyat Malaysia di mana kebanyakan mereka mahukan keadilan kepada Zaharif dan mahu tindakan yang setimpal diambil kepada pegawai polis tersebut.

Baca Juga:

Terbaharu, menerusi beberapa hantaran di sosial media. Kini tular satu gerakan yang mempersoalkan ‘kesucian’ pegawai polis. Sebuah slogan dengan persoalan ‘Who do you call when police murder?’ atau dalam bahasa mudahnya, ‘siapa yang anda hubungi jika pembunuhnya adalah polis?’ kini tular di media sosial.

Slogan ini difahamkan telah ditulis di beberapa dinding di pusat bandar Kuala Lumpur. Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh pengguna media sosial X, tulisan ini dapat dilihat di salah sebuah tiang dan dinding di tengah ibu kota.

Slogan ini difahamkan mula tumbuh selepas tularnya kes Zaharif, calon SPM yang meninggal dunia dipercayai dilanggar secara kejam oleh seorang pegawai polis berpangkat kanan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, Perak.

Pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan kini telah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Tidak pasti siapa yang bertanggungjawab memulakan gerakan ini, namun ia kini sudah tular di media sosial sehingga ada pihak yang telah memadam slogan tersebut.

Kebanyakan netizen mendoakan agar kematian Zaharif mendapat keadilan yang sepatutnya dan pegawai polis yang mengikut perasaan itu dikenakan hukuman yang setimpal.