Semalam penduduk sekitar kawasan Ipoh dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat pada pukul 11.06 pagi dan terasa gegarannya seolah-olah dilanda gempa bumi.

Beberapa pengguna media sosial turut mendakwa gegaran itu dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim hingga Gugusan Manjoi.

Baca Juga:

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan kejadian  tersebut bukan berpunca daripada aktiviti letupan kuari atau latihan dari kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta.

Pihak Polis masih menjalankan siasatan namun penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berpendapat bunyi dentuman kuat itu kemungkinan berpunca daripada ‘Sonic Boom’ (ledakan sonik).

Menurut kenyataannya dalam Berita Harian, ledakan sonik adalah bunyi kuat berpunca dari gelombang kejutan yang dicipta sebarang objek sedang bergerak melalui udara seperti jet pejuang dan mencapai kelajuan lebih pantas berbanding kelajuan bunyi.

“Ledakan sonik ini menghasilkan tenaga bunyi yang sangat tinggi kerana pesawat terbang pada kelajuan supersonik.

“Bunyi dentuman sonik ini tidak menyebabkan apa-apa kesan kepada pesawat, malah tiada berlaku letupan pun di udara.

“Kebiasaannya, protokol ketenteraan mengehadkan penerbangan supersonik kepada operasi di atas air untuk meminimumkan kesan ke atas kawasan berpenduduk,” katanya.

Pada tahun 2020, bunyi letupan kuat pernah dirasai di Ipoh apabila seorang penduduk mendakwa telah nampak beberapa Jet Pejuang TUDM melalui kawasan itu.

Kejadian seperti itu pernah berlaku di Australia pada Ogos lepas menurut laporan Mediacorp.

Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) menyatakan hasil awal siasatan ke atas bunyi sonik kuat yang dirasai di Perth mungkin datang daripada jet pejuangnya.

Ketika itu, empat pesawat F-15 Angkatan Udara Republik Singapura RSAF sedang menjalankan latihan di luar sebuah pangkalan tentera udara di Australia Barat.

Media Australia melaporkan bahawa bunyi seperti letupan kedengaran dan dirasakan oleh beribu-ribu penduduk Perth.

Ia juga menyebabkan tingkap-tingkap di beberapa kawasan bandar Australia bergegar.