Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita aset milik seorang Tan Sri yang terdiri daripada kenderaan mewah, barangan kemas, beg tangan berjenama dan wang tunai bernilai RM32 juta.

Memetik Harian Metro, Tan Sri itu didakwa membuat tuntutan palsu dan salah guna bon pinjaman bagi pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.

Baca Juga:

Kesemua barangan mewah itu diperoleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan SPRM selepas menyerbu dua kediaman milik Tan Sri itu yang terletak di ibu negara, semalam.

SPRM menyita sembilan kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta.

“Menerusi penggeledahan itu, SPRM turut menyita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM5 juta, 27 unit tas tangan bernilai lebih RM1 juta dan barangan kemas berjumlah lebih RM4 juta,” katanya.

SPRM sita kediaman mewah

Memetik laporan itu lagi, dalam serbuan sama, SPRM turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman beralkohol mewah di salah sebuah kediaman yang dipercayai bernilai kira-kira RM3 juta.

“Dalam tindakan yang dijalankan itu juga, SPRM membuat sitaan ke atas sebuah unit kediaman mewah terletak di ibu negara dianggarkan bernilai RM12 juta,” katanya.

Katanya, kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Sumber