Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang menyambut baik keputusan Malaysian Football League (MFL) mengubah tarikh final Unifi Piala Malaysia pada 26 April 2025 yang dilihat dapat memberi ruang kepada penyokong merancang perjalanan lebih baik.
Ini berikutan tarikh asal pada 12 April dilihat masih di awal tempoh perayaan dan enggan melihat penyokong-penyokong menghadapi kekangan untuk hadir ke stadium nanti.
Baca Juga:
- MFL Umum Tarikh & Gelanggang Aksi Final Piala Malaysia 2024/25
- Giorgio Pompili Rossi Tidak Lagi Bersama MFL
- Tunku Mahkota Ismail Dedah Dua Kelab ‘Legend’ Tiada Musim Hadapan
Sri Pahang Prihatin Dengan Penyokong

“Bagi Sri Pahang, kita memahami dengan musim perayaan sekarang dan tidak mahu penyokong berdepan dengan sebarang masalah nanti di awal perayaan untuk merancang perjalanan mereka, nak beli tiket lagi dan sebagainya.
“Jadi, sebab itu kami rasa tarikh 26 April adalah tarikh yang sesuai untuk mengadakan aksi final ini di mana pada ketika itu sudah tentu penyokong lebih bersedia.
“Bukan sahaja penyokong, malah pemain dan jurulatih juga ada lebih masa untuk berlatih dengan rapi, tidaklah perlu tergesa-gesa fikir nak balik kampung dalam masa singkat dan sebagainya.
“Jadi, saya harap dengan perubahan tarikh ini, penyokong-penyokong baik dari Sri Pahang dan JDT dapat sama-sama untuk turun padang dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk hadir pada 26 April nanti”, jelasnya.
Terdahulu, MFL mengumumkan tarikh baharu aksi final Unifi Piala Malaysia 2024-2025 telah ditetapkan pada 26 April 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) jam 9.00 malam.

Pertimbangan semula terpaksa dibuat selepas MFL mendapat permohonan rasmi daripada Sri Pahang serta persetujuan bersama JDT.
Untuk makluman, kesemua tiket fizikal dan e-tiket yang telah dan akan dijual tertera tarikh asal perlawanan akhir pada 12 April 2025 akan kekal digunakan untuk penyokong masuk ke stadium pada tarikh baharu perlawanan akhir, 26 April 2025.