Seorang staf Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka mengaku bersalah membuat komunikasi jelik terhadap bekas pengarah negeri jabatan itu, dua tahun lalu.

Tertuduh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, petik Harian Metro.

Baca Juga:

Hakim Haderiah Siri menjatuhkan hukuman itu terhadap Adi Ariff Ahmad, 51, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu hantaran yang jelik sifatnya menerusi akaun X.com pada 11.33 pagi 11 Oktober 2023.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap Adi Ariff.

OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana dia menanggung empat anak yang masih bersekolah selain menjaga ibunya yang kurang sihat.

Sumber