Syarikat startup AI yang dahulunya pernah sensasi kerana telah menerima dana pelaburan sebanyak $450 juta (~RM1.09 bilion) dari sejumlah syarikat terkemuka seperti Microsoft telah pun menfailkan kebankrapan baru-baru ini.

Mereke berbuat sedemikian selepas didedahkan bahawa apa yang disebut sebagai kecerdasan buatan mereka sebenarnya hanyalah ratusan tenaga kerja manusia di India yang menyamar sebagai chatbot.

Sebuah startup yang menjanjikan revolusi dalam industri

ai
Sumber Gambar: The Indian Express

Builder.ai, yang berpengkalan di London pada ketika dahulu pernah dinilaikan setinggi $1.5 bilion bersamaan RM6 bilion, dipasarkan sebagai platform solusi berasaskan AI yang mampu membina aplikasi semudah membuat pesanan pizza sahaja.

Menerusinya, mereka memperkenalkan pembantu maya bernama Natasha yang sepatutnya menjana perisian dengan menggunakan kecerdasan buatan.

Dakwa guna AI tetapi sebenarnya…

ai
Sumber Gambar:Reddit

Tetapi realitinya, proses pembangunan Builder.ai sebenarnya bergantung kepada kira-kira 700 jurutera manusia di India. Jurutera-jurutera ini secara manual menulis kod untuk projek pelanggan, manakala syarikat itu menggambarkan kerja tersebut sebagai hasil janaan AI.

Penipuan ini mula terbongkar selepas pemerhati industri dan orang dalam, termasuk Linas Beliūnas dari Zero Hash, secara terbuka menuduh Builder.ai melakukan penipuan. Dalam satu hantaran di LinkedIn, Beliūnas menulis: “Ternyata syarikat itu tiada AI pun, sebaliknya hanyalah sekumpulan pembangun India yang berpura-pura menulis kod sebagai AI.”

Perkara ini tampak lebih jelas apabila berlaku masa respon yang lama dan juga terdapat sejumlah bug apabila perisian diterima oleh pelanggan daripada platform itu.

Mulai dikesan sejak tahun 2019 lagi

Malah, laporan siasatan oleh Wall Street Journal pada 2019 mendapati bahawa kebanyakan pengekodan dilakukan secara manual, dengan keupayaan AI syarikat itu banyak dibesar-besarkan seolah-olah ia tersangat canggih.

Ditambah pula dengan pendedahan sejumlah bekas pekerja dari syarikat terbabit yang mengesahkan semua  di syarikat itu dibantu dengan jurutera dan bukan teknologi AI yang dicanang-canangkan itu.

Wujud penipuan laporan pendapatan

Peminjam, Viola Credit, merampas $37 juta dari akaun syarikat pada Mei lalu, dan mendapati Builder.ai telah melebihkan unjuran pendapatan 2024 mereka sebanyak 300%.

Satu audit mendedahkan syarikat itu hanya menjana $50 juta pendapatan, jauh lebih rendah berbanding $220 juta yang didakwa kepada pelabur.

Kejatuhan Builder.ai telah mencetuskan siasatan persekutuan di AS, dengan pendakwa raya di New York meminta dokumen kewangan dan rekod pelanggan.

Pengasasnya, Sachin Dev Duggal, telah meletak jawatan awal tahun ini dan digantikan oleh Manpreet Ratia, yang dilaporkan telah membongkar penyelewengan dalaman syarikat.

Kini, syarikat itu berhutang jutaan dolar kepada Amazon dan Microsoft untuk kos pengkomputeran awan, dan telah memberhentikan kira-kira 1,000 pekerja.

Di LinkedIn, syarikat itu mengumumkan kemasukan mereka ke dalam proses insolvensi (muflis), dengan alasan “cabaran bersejarah dan keputusan lalu” yang telah membebankan kewangan mereka.

Jadi trend untuk dapatkan dana

Kesan daripada kejadian ini dilihat sebagai salah satu kegagalan terbesar dalam ledakan pelaburan AI pasca-ChatGPT. Kini fenomena ini digelar sebagai “pembersihan AI” (AI washing)—trend mengubah jenama perkhidmatan manual sebagai kecerdasan buatan semata-mata untuk mendapatkan dana.