Johor Tigris tampil cukup garang untuk memenangi perlawanan pertama kumpulan A Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan setelah menundukkan Selangor Pistons 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Arena 9, Nilai sebentar tadi.
Berdepan lawan yang merupakan semi-finalis GP Terengganu tempoh hari jelas tidak dihiraukan Johor Tigris.
Baca Juga:
- STL 2025 GP Negeri Sembilan: Terengganu Turtles Tidak Berdepan Masalah Atasi Bomba Fighters
- STL 2025 GP Negeri Sembilan: Penang Black Panthers Tundukkan Kelantan Warriors
- STL 2025: Jadual Penuh Perlawanan GP Negeri Sembilan
Sebaliknya, gandingan Muhammad Hairul Hazizi Hadzir (tekong), Teerapat Deechaoren (apit kanan) dan apit kiri, Farhan Adam mempamerkan aksi baik untuk memberikan masalah buat Syafi Haziq Baharudin (tekong), Nonthanan Sombatlay (Salman Anuar), (Ariff Daniel Muhammad Aripin) selaku apit kanan dan Muhammad Arif Mohd Badri (apit kiri).

Hairul Hazizi turut mencuri tumpuan dengan variasi servis menarik daripadanya terutama menerusi servis ‘lob’ yang sering memberikan masalah buat Arif Mohd Badri pada set pertama.
Pengalaman Regu Johor Tigris Beri Kelebihan
Keadaan itu membolehkan Johor yang dibimbing Najib Iman untuk menguasai set pertama dan berjaya menang 15-9.
Set kedua pula menyaksikan Selangor Pistons lebih garang pada awal permainan dengan mendahului 7-3.

Namun, pengalaman luas dimiliki Johor Tigris terutamanya ketenangan Hairul dan Farhan serta libasan padu Teerapat dilihat cukup membantu mereka.
Ia dibuktikan dengan mata demi mata diraih untuk mereka kembali dihadapan pada kedudukan 9-8 dan kemudiannya tidak menoleh ke belakang lagi dalam usaha memburu kemenangan.
Walaupun Selangor Pistons cuba mempamerkan kebangkitan untuk mengikat kedudukan, ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan Johor Tigris dengan mata 15-13.