Pemain badminton yang sudah dianggap sebagai legenda badinton China iaitu Zheng Siwei baharu sahaja mengumumkan persaraannya daripada kancah badminton antarabangsa.
Lebih mengejutkan, pemain yang cukup sinonim berpasangan dengan Huang Ya Qiong dalam sektor beregu campuran itu mengambil langkah drastik tersebut ketika usianya baru mencecah 27 tahun.
Baca Juga:
- Ini Senarai Jurulatih Badminton Malaysia Yang Sedang Berbakti Di Luar Negara
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
- Cerita Badminton Malaysia Ke Olimpik Yang Wajar Setiap Rakyat Perlu Tahu
Perkembangan terkini mengenai persaraan itu dibuat Siwei dalam laman Instagram peribadinya yang berbunyi: “Hari ini bagaimanapun saya ingin menyatakan rasa terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa mengikuti dan menyokong saya.”
“Saya boleh merasakan apa yang anda semua rasakan pada ketika ini. Selepas mengikuti begitu banyak permainan saya sejak bertahun-tahun, anda mungkin berasa janggal kerana tidak dapat melihat saya lagi beraksi di gelanggang.”
“Ini merupakan keadaan yang saya perlu cepat menyesuaikan diri. Menulis surat ini, emosi saya sememangnya bercampur-baur. Pemikiran untuk meninggalkan kerjaya profesional ini membangkitkan perasaan berat hati dan nostalgia,” ujar Siwei lagi.
11 tahun bersama skuad kebangsaan China (sejak 2013), Zheng Siwei telah mengecapi pelbagai kejayaan yang merintis kepada karier menakjubkan buat beliau.
Berikan sahaja nama pertandingan di pentas tertinggi badminton, kesemuanya pernah dimenangi oleh anak muda kelahiran Zhejiang ini.
Berikut merupakan antara kejayaan yang berada dalam koleksi kejuaraan Zheng Siwei:
1) Pingat Emas Sukan Olimpik 2024
2) Juara Kejuaraan Dunia 2018, 2019 & 2022
3) Juara BWF World Tour Finals 2019, 2022 & 2023
4) Pingat Emas Sukan Asia 2018 dan 2022 – Acara berpasukan dan beregu campuran
5) Juara Piala Thomas 2018
6) Juara Piala Sudirman 2019 & 2023
7) Juara Kejohanan Asia 2022
Sejak tahun 2018, Zheng Siwei telah memenangi 32 kejuaraan siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan mara ke pentas final sebanyak 40 kali bersama Huang Ya Qiong.
Satu pencapaian yang nyata sudah cukup buat Siwei untuk berkemungkinan beralih ke bidang kejurulatihan selepas ini.