Pelawak dan pelakon popular, Ronny Chieng berasal Johor Bharu baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau secara rasmi telah diberikan kewarganegaraan AS setelah lulus temu duga dan ujian naturalisasi negara tersebut.

Beliau menerima ucapan tahniah atas menjadi warganegara AS oleh pelakon legenda Bill Murray ketika bercakap kepada penonton di antara rakaman The Daily Show, program televisyen berita satira popular oleh Comedy Central, di mana Chieng adalah pengacaranya.

Dalam klip video yang tular itu, Chieng sedang menjawab soalan di luar siaran daripada seorang anggota audiens ketika Murray masuk dan mengucapkan tahniah kepada pengacara The Daily Show itu.

“Oh, apa khabar?” seru Chieng, sambil ketawa ketika Murray menghampirinya untuk berjabat tangan.

“Mereka kata kamu sangat teruja hari ini kerana kamu baru tahu kamu sudah menjadi warganegara Amerika,” kata Murray sambil tersenyum lebar.

Chieng mengangguk, sambil menyebutnya “hari yang gila, gila. Terima kasih, terima kasih banyak.”

Murray kemudian memberikannya ciuman di pipi dan pelukan hangat sebelum memberi hormat ketika dia meninggalkan pentas dengan tepukan gemuruh.

Chieng kemudian mengesahkan kepada penonton bahawa beliau sememangnya telah diberikan kewarganegaraan AS.

Anggap sebagai pengalaman yang gila menjadi rakyat AS

“Ia adalah pengalaman yang gila untuk menjadi warganegara AS pada hari yang sama kamu sepatutnya menemuramah Bill Murray. Hari ini memang panjang.”

“Saya terpaksa pergi untuk temu duga (naturalisasi), mereka tanya macam 100 soalan, soalan-soalan yang saya yakin tak seorang pun daripada kamu boleh jawab. Saya kena hafal berapa banyak koloni yang ada, negeri-negeri dan siapa Presiden sekarang, memang sangat susah.”

Sedikit maklumat latar belakangnya, dilahirkan di Johor Bahru, Chieng dibesarkan di Singapura dan kemudian di Amerika Syarikat.

Beliau memulakan karier komedinya pada tahun 2009 dan dengan cepat mencipta nama dengan humor pemerhatiannya yang tajam.

Chieng menyertai The Daily Show pada tahun 2015 sebagai koresponden kanan, terkenal dengan cara beliau menangani isu sosial dan politik dengan gaya komedi yang pedas.

Beliau juga muncul dalam filem-filem besar termasuk Crazy Rich Asians (2018) dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings (2021) dari Marvel.