Arif Aiman sekali lagi menampilkan prestasi cemerlang ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kemenangan dalam saingan AFC Champions League (ACL) Elite baru-baru ini.

JDT menundukkan juara Liga Korea yang dibimbing oleh bekas pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dengan keputusan 3-0 sekaligus menduduki tangga ketiga dalam kumpulan A ketika ini.

Baca Juga:

Arif menjaringkan gol dalam perlawanan ini dimana beliau membuka tirai jaringan seawal minit ke-8 selepas memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan Ulsan.

Selepas persembahan cemerlang, ramai pihak terutamanya peminat bola sepak tanah air merasakan sudah tiba masa Arif Aiman untuk beraksi di luar negara.

Berada di puncak prestasi dan masih dalam lingkungan usia yang dikategorikan muda, sekarang adalah masa yang sesuai untuk Arif meningkatkan kualiti dan meraih pengalaman dengan beraksi di luar Malaysia.

Pemain berusia 22 tahun itu boleh cuba beraksi dalam saingan Liga Jepun seperti bintang Asean lain iaitu Chanathip Songkrasin dan Supachok Sarachat.

Sekiranya menampilkan peningkatan, barulah bekas graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu boleh mencongak langkah untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi iaitu Eropah.

Berdepan dengan pemain yang jelas mempunyai kuliti lebih tinggi berbanding Liga Malaysia sudah pasti boleh membantu Arif untuk meningkatkan kualiti yang sedia ada dimiliki oleh pemain itu.

Sebelum ini, beberapa kelab dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Arif Aiman tetapi tiada perjanjian yang berjaya dicapai oleh kedua-dua pihak.

Selepas tamat tugasan di peringkat Asia, Arif dan rakan sepasukan akan kembali beraksi dalam saingan liga domestik dimana mereka akan turun menentang pasukan Perak pada 10 November ini.

Perlawanan ini dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim selepas ditunda dua kali ekoran hujan lebat.