Suspek kes buli siber di TikTok sudah diberkas oleh polis untuk disoal siasat.

Semalam Vocket melaporkan, seorang pempengaruh TikTok, warga tempatan dengan nama Esha, telah mencabut nyawanya sendiri kerana tekanan melampau.

Ini termasuk ugutan mahu memperkosanya, menurut kenyataan daripada saksi yang melihat Esha dibuli di media sosial oleh pempengaruh yang lain.

Keluarga mangsa menuntut keadilan di atas pemergian Esha yang menurut mereka sukar untuk mereka terima.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut berdukacita di atas berita tersebut dan berharap pihak polis melakukan siasatan segera di atas apa yang berlaku.

Polis kemudian bertindak di atas laporan orang awam yang mendakwa mereka melihat beberapa hantaran troll dan hinaan terhadap seorang influencer bernama Rajeswary Appahu, 30, atau Esha – yang mencabut nyawanya kerana buli siber.

Laporan polis tersebut juga menyebut bahawa seorang lagi influencer telah mengugut Esha menggunakan platform tersebut.

Suspek ditahan di Rawang Selangor pada awal pagi tadi menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd.

Dipetik daripada Kosmo Online, Ahmad Sukarno berkata: “Kedua-dua akaun TikTok itu menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing.

“Kandungan itu juga didapati mempunyai unsur ugutan dan ancaman kepada Rajeswary (Esha) dan menggunakan kata-kata kesat serta lucah.”

Polis juga mengesahkan bahawa pengadu sempat menangkap layar hantaran yang dibuat oleh suspek sebelum dipadam.

Justeru Ahmad Sukarno menasihati netizen tidak salah guna media sosial menjadi tempat buli siber.