Setiap orang mengingin kerjaya baik di syarikat yang dapat memberikan pelbagai faedah, lebih-lebih lagi melibatkan bantuan kewangan.
Ramai menganggap perkara itu mustahil, bagaimanapun seorang gadis berkongsi pengalamannya bekerja di sebuah tempat yang mengambil berat kebajikan pekerja serta ahli keluarga.
Menerusi hantaran Threads @sheensaiful dia mendapat bantuan kewangan daripada pihak syarikat untuk menyelamatkan nyawa bapanya.
Pada 2018 bapanya didiagnosis mempunyai tumor sebesar bola tenis, berbahaya kerana ia berhampiran dengan otak. Dalam masa sama bapanya mempunyai masalah jantung.
Doktor memberitahunya untuk membuat dua surgeri dengan kadar segera. Pembedahan jantung berjalan lancar, bagaimanapun kos surgeri tumor bernilai RM50,000.
“Kami tidak mempunyai wang sebanyak itu. Menunggu dua tahun di hospital kerajaan bukanlah pilihan—dia tidak akan dapat bertahan selama itu.
“Bapa saya mencuba segala-galanya. Dia meminta bantuan rakan-rakan, mengambil apa sahaja pekerjaan, dan berdoa. Tetapi dengan sakit kepala yang semakin teruk dan kesihatannya yang rapuh, semua itu masih tidak mencukupi,” kata @sheensaiful.

Dia teringatkan dana bantuan kecemasan di tempat kerja dan memberitahu kepada bapanya. Namun bapanya menolak dengan alasan ada pihak lebih memerlukan.
Namun gadis itu tidak mengalah dan mencuba nasib, tanpa mengharapkan sebarang maklum balas daripada pihak syarikat.
Bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku. Pihak berkenaan meminta @sheensaiful memberikan butiran lanjut seperti surat doktor, bil dan keputusan diagnosis.

Pada 11 April gadis itu mendapat khabar positif di mana dana bantuan kecemasan akan menangung kos surgeri sepenuhnya.
“Hai Shareena, permohonan dana bantuan kecemasan (ERF) anda telah disemak oleh Majlis ERF dan diluluskan untuk jumlah penuh yang dimohon, iaitu RM50,000,” petik tangkap layar emel yang dikongsikan.
Syarikat bukan sahaja beri duit, tapi beri harapan.
Bagaimanapun bapanya tidak berjaya menyempurnakan surgeri tersebut apabila jantung gagal berfungsi semasa prosedur.
“Saya kehilangannya pada hari itu. Tetapi apa yang tempat kerja saya lakukan untuk kami telah mengubah hidup saya.
“Mereka bukan sahaja memberikan wang. Mereka memberikan kami harapan.
“Kepada ayah saya: Saya merindui anda setiap hari. Saya harap saya sedang membuat anda bangga.
“Dan kepada syarikat yang membantu kami: Terima kasih. Anda membuat saya percaya kepada kebaikan semula,” kata Shareena.
Perkongsian Threads itu membuatkan pembaca berasa sebak. Ramai tidak menyangka masih ada tempat kerja yang mengeluarkan dana bantuan sebanyak itu — bukan untuk membantu pekerja itu sendiri, tetapi untuk ayah pekerja.
Ramai yang ingin tahu apa nama syarikat tersebut dan berharap Shareena dapat bekerja dengan baik dan dapat membantu semula pihak yang memerlukan.
Bagaimanapun Shareena menyatakan syarikat tersebut sudah menutup operasinya pada 2019 lalu.