Hari ini sebuah syarikat pengeluar roti didenda RM60,000 atas pertuduhan menaikkan harga roti kentang sebanyak 16 sen pada tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhi Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar selepas Today Bakeries Products (Klang) Sdn Bhd sebagai Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengarahnya, Khu Kim Chai, 67, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu, lapor Berita Harian.
Baca Juga:
- Harga Nasi Lemak, Roti Canai Meningkat Selepas 13 Tahun
- Rakyat Singapura ‘Claim’ Roti John Berasal Dari Negara Mereka
- ‘Roti John Original Makan Dengan Sambal, Bukan Sos Melimpah Macam Malaysia’ – Netizen Singapura
OKS membayar denda itu selepas prosiding berkenaan.
Mengikut pertuduhan, syarikat beralamat di Klang itu didakwa mencatut dalam menjual barangan roti kentang dengan menaikkan harga jualan dari RM3.35 kepada RM3.51.
Kesalahan yang dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Klang Utama pada 27 Mei 2024 itu menyebabkan kenaikan kepada margin keuntungan bersih sebanyak RM0.16 daripada RM1.89 kepada RM2.05.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(1)Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang dibaca bersama Per 3(b) Peraturan -Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan ( Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Yang Tidak Munasabah) 2018 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad SaifulSaaidin manakala OKS diwakili Peguam Mohd Ridzuan Omar, lapor Berita Harian.