Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan penyertaan sulungnya dalam Ironman Malaysia di Langkawi dalam tempoh 13 jam 13 minit walaupun terpaksa menahan kesakitan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengalami kecederaan apabila basikal yang ditunggangnya terbalik selepas melanggar dahan pokok tumbang ketika beraksi dalam disiplin berbasikal.

Baca Juga:

Namun begitu, ia tidak menghalang beliau menghabiskan ketiga-tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal sejauh 180km serta larian sejauh 42.2km.

“Sebelum kejadian, hujan lebat berserta ribut telah menyebabkan pokok berkenaan tumbang dan menghalang keseluruhan laluan jalan raya… masa itu, saya sedang lakukan disiplin berbasikal dan ada seorang atlet di sebelah kanan saya.

“Pada masa sama, ada kereta yang lalu di situ, jadi takkan saya hendak tolak atlet berkenaan. Masa itu juga laluan menurun dan kelajuan dalam 30 kilometer per jam, jadi memang tidak dapat buat apa-apa,” katanya ketika bercakap kepada pemberita.

Syed Saddiq berkata semasa terjatuh, hanya satu perkara yang terlintas dalam minda iaitu adakah kejadian itu akan menjadi penamat buat dirinya dalam kejohanan tersebut sebelum beliau nekad untuk terus bangun meneruskan baki disiplin berbasikal dan larian.

“Mak saya tidak didik saya untuk berputus asa, semasa larian itu memang sakit sangat… bila jatuh dari basikal, tangan lebam dan perut kejang manakala kaki kanan sakit akibat impak terlanggar pokok, jadi memang sukar hendak kekalkan momentum.

“Dalam minda hanya mahu habiskan kejohanan ini sahaja walaupun saya hilang kira-kira 30 minit akibat kejadian itu tetapi saya tetap bersyukur kerana tidak ada tulang yang patah… hanya lebam dan berdarah sahaja tetapi itu perkara biasa,” katanya dipetik dalam Bernama.

Beliau juga mengesahkan akan menyertai Ironman Malaysia sekali lagi pada tahun depan.