Seorang wanita telah dianugerahkan lebih daripada RM10.5 juta dalam salah satu penyelesaian penceraian paling berprofil tinggi dalam negara Malaysia ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Evrol Mariette Peters, telah membuat keputusan pada 25 Mei memihak kepada pihak pemohon, yang dirujuk sebagai Chan, terhadap bekas suaminya yang merupakan seorang jutawan, dikenali sebagai Shan.

Baca Juga:

Memetik New Straits Times, dalam alasan penghakiman setebal 167 muka surat, Peters menyatakan bahawa perkahwinan pasangan itu telah ‘bermula dengan penuh glamor dan dipenuhi kemewahan’, namun kemudiannya merosot kepada tuduhan kecurangan dan keterasingan emosi.

Hubungan rumah tangga sudah lama runtuh

Beliau berkata, walaupun pasangan itu menampilkan imej kejayaan dan keanggunan, mahkamah mendapati bahawa perkahwinan mereka sebenarnya telah lama runtuh di sebalik penampilan tersebut.

“Apa yang dahulu kelihatan seperti kisah cinta sempurna perlahan-lahan mula berantakan, mendedahkan masalah yang lebih mendalam.

“Pertengkaran semakin menjadi-jadi, dengan tuduhan curang, cemburu dan hilang kepercayaan.

“Tekanan daripada masyarakat dan pengawasan yang berterusan hanya memburukkan keadaan, sehingga akhirnya membawa kepada keruntuhan perkahwinan yang begitu rumit,” katanya.

Peters berkata bahawa walaupun perkahwinan itu telah lama goyah, mahkamah mendapati pemohon memilih untuk terus berada dalam perkahwinan yang telah berlangsung selama dua dekad itu selama bertahun-tahun sebelum akhirnya memfailkan penceraian.

Namun begitu, hakim mendapati bahawa keputusannya bukanlah berpunca daripada usaha untuk berdamai secara emosi.

“Adalah jelas bahawa keputusan pemohon itu didorong bukan oleh cinta atau harapan untuk berdamai, sebaliknya lebih kepada keinginan untuk mengekalkan kedudukan sosial dan keistimewaan yang datang bersama peranannya sebagai isteri kepada responden,” katanya.

Pemohon bergambar dengan selebriti terkenal dunia

Beliau berkata, bukti bergambar yang dikemukakan kepada mahkamah menunjukkan Chan bersama selebriti antarabangsa, termasuk pereka fesyen Michael Kors, pelakon Kate Hudson, dan ahli keluarga Kardashian, selain menghadiri acara elit seperti Festival Filem Cannes.

“Sekilas pandang terhadap kehidupan awamnya menunjukkan bahawa pemohon lebih menghargai status dan gaya hidup yang diperoleh melalui perkahwinannya berbanding hubungan (perkahwinan) itu sendiri,” katanya.

“Keengganan pemohon untuk menamatkan perkahwinan, walaupun jelas hubungan itu telah runtuh, kelihatan lebih didorong oleh keinginan untuk mengekalkan manfaat luaran tertentu berbanding niat ikhlas untuk berdamai atau memulihkan hubungan suami isteri,” kata Peters.

Chan juga telah menuntut ganti rugi daripada dua wanita yang didakwanya mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.

Namun begitu, Peters memutuskan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk memenuhi beban undang-undang di bawah Seksyen 58(3) Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

“Syak wasangka, walau sekuat mana sekalipun, bukanlah pengganti kepada bukti,” kata Peters, sambil menambah bahawa pemohon gagal membuktikan berlaku curang berdasarkan imbangan kebarangkalian seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Mahkamah juga menolak kebolehterimaan rakaman rahsia pertemuan damai yang didakwa oleh Chan sebagai sesi di mana suaminya mengakui berlaku curang.

“Membenarkan rakaman audio dan transkripnya sebagai bukti akan menghalang pihak-pihak dalam pertikaian rumahtangga daripada mengadakan perbincangan jujur ke arah penyelesaian.”

Mahkamah arah bayar ganti rugi

Mahkamah memerintahkan Shan membayar kepada Chan sejumlah RM6.72 juta sebagai nafkah isteri sekaligus, yang dikira berdasarkan RM35,000 sebulan selama 16 tahun.

Selain itu, Peters juga memerintahkan pemberian sebanyak RM2 juta untuk bahagian Chan dalam rumah perkahwinan mereka dan barang-barang rumah tangga, RM1.04 juta bagi sumbangannya kepada perniagaan Shan (dikenali di mahkamah sebagai ALIR), RM450,000 dari akaun KWSP Shan, dan RM350,000 untuk pembelian kenderaan pengganti.

Jumlah keseluruhan RM10.56 juta ini akan dibayar secara ansuran berperingkat, yang dijangka selesai pada Disember 2027.

Perbicaraan yang panjang ini berlangsung selama lebih 80 hari, melibatkan 26 saksi dan lebih 16,000 dokumen.