Isu gaji Mbappe terus hangat dibincangkan. Terbaru, Mahkamah Perancis telah membatalkan perintah sitaan sementara sebanyak €55 juta yang dituntut oleh Kylian Mbappe terhadap Paris Saint-Germain (PSG) berkaitan dengan tuntutan gaji Mbappe  dan bonus yang tidak dibayar.

Keputusan ini diumumkan oleh Mahkamah Eksekusi Paris pada 26 Mei 2025, selepas PSG berhujah bahawa Mbappe gagal membuktikan kewujudan hutang yang jelas dan ancaman terhadap pemulihan dana tersebut .

Gaji Mbappe tertunggak

Pertikaian ini bermula apabila Mbappe, yang kini bermain untuk Real Madrid, menuntut pembayaran sebanyak €55 juta daripada PSG. Jumlah ini merangkumi tiga bulan gaji (April hingga Jun 2024), bonus etika, dan sebahagian daripada bonus penandatanganan yang sepatutnya dibayar pada Februari 2024.

Kylian Mbappé
FILE PHOTO: Soccer Football – International Friendly – France v Canada – Stade Matmut-Atlantique, Bordeaux, France – June 9, 2024 France’s Kylian Mbappe reacts REUTERS/Stephane Mahe/File Photo

Pada April 2025, Mbappe memperoleh kebenaran mahkamah untuk menyita sementara dana tersebut daripada akaun PSG, namun hanya sekitar €14 juta yang berjaya disita.

Dakwaan Perjanjian Lisan

PSG mendakwa Mbappe sebagai mungkir janji. PSG menegaskan bahawa pada Ogos 2023, terdapat perjanjian lisan antara Kylian Mbappe dan Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.

Perkara tersebut turut dikongsikan sendiri Nasser Al-Khelaifi kepada umum ketika itu, dengan Mbappe langsung tidak membuat sebarang penafian pada masa itu.

Kes Tak Bayar Gaji Mbappe: Mahkamah Batalkan Sitaan Sementara €55 Juta Aset PSG
Kredit Foto: REUTERS/Christian Hartmann/File Photo

Menurut Khelaifi, dalam perjanjian lisan itu, Mbappe bersetuju untuk melepaskan tuntutan terhadap jumlah tersebut sekiranya beliau meninggalkan kelab tanpa bayaran perpindahan.

Namun, kini pihak Mbappe menafikan kewujudan perjanjian tersebut, menyatakan bahawa tiada dokumen bertulis yang menyokong dakwaan itu.

Lantas PSG dianggap tak bayar gaji Mbappe seperti dijanjikan dalam kontrak rasmi.

Prosiding seterusnya

Dengan pembatalan sitaan sementara ini, pertikaian antara Mbappe dan PSG dijangka akan diteruskan di Mahkamah Buruh Perancis (Conseil de Prud’hommes).

Pihak Mbappe juga telah mengemukakan aduan kepada UEFA, meminta agar lesen PSG untuk menyertai Liga Juara-Juara Eropah ditarik balik, namun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.

Pertikaian ini telah membangkitkan semula ketegangan antara pemain dan kelab dalam isu kontrak dan pembayaran, serta menekankan kepentingan dokumentasi rasmi dalam perjanjian antara kedua-dua pihak.