Seramai 430,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didapati tidak pernah membayar semula hutang pinjaman membabitkan nilai sebanyak RM6 bilion, lapor Harian Metro.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebahagian daripada jumlah bekas pelajar itu antaranya didapati sudah bergraduasi berpuluh tahun.
Baca Juga:
- ‘Tengok Abang Kakak Hutang PTPTN Sampai RM50K Punca Gen Z Tak Nak Sambung Belajar’
- Kerajaan Setuju Naikkan Pinjaman PTPTN Buat Golongan M40 (M1) Kepada 100 Peratus
- Mahu Bantu Golongan B40, Yayasan KRU Bekerjasama Dengan PTPTN Dalam Program ‘Kita Jaga Kita’
Bagaimanapun masih gagal membuat pembayaran walau satu sen dan jumlah kelompok tersebut semakin bertambah saban tahun.
Difahamkan oleh sebab sikap tidak bertanggungjawab mereka itu, kini kedudukan kewangan PTPTN berada di tahap membimbangkan.
“Ini kategori yang tak peduli sejak hari pertama dia keluar (dari universiti), dia tak maklumkan keadaan dia, di mana dia bekerja, bagaimana dia nak (buat pembayaran semula), sepatutnya perlu bincang. Mereka tak peduli langsung untuk bayar.
“Kita sudah pun membuat perbincangan secara mendalam di peringkat kabinet untuk langkah seterusnya.
“Saya tidak menafikan langkah susulan yang akan diambil terhadap mereka ini termasuk tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN kepada 215 mahasiswa parlimen Lumut dan Beruas di sebuah hotel di sini, hari ini.
Memetik laporan itu lagi, perincian tentang tempoh kes dan bentuk tindakan yang akan diambil peminjam yang culas itu akan diumumkan oleh Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dalam masa terdekat.
“Namun, saya ingin tegaskan sekali lagi kita tetap berhemah. Kita faham keadaan (ekonomi), tetapi saya nak supaya mereka ini datanglah (ke PTPTN) ceritakan keadaan mereka.
“Mereka juga perlulah mempunyai tanggungjawab moral kerana wang itu apabila mereka bayar balik, kita akan gunakan untuk membantu generasi yang akan datang pula,” katanya.
Pada masa sama Zambry menegaskan Kementerian Pendidikan Tinggi akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan penyebaran ajaran berkaitan GISB Holding (GISBH) dalam kalangan pelajar dan pensyarah di IPT.