Media sosial heboh dengan kisah seorang lelaki yang melahirkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan saman oleh anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBdK), lapor Majoriti.
Menurut hantaran yang dikongsi di laman Threads pada Ahad lalu, lelaki berkenaan mendakwa dirinya disaman secara tiba-tiba ketika baru sahaja meletakkan kenderaan di kawasan parkir tersebut.
Menurutnya, tindakan itu dibuat tidak sampai sesaat dia memarkir keretanya di sebuah lokasi di Klang, Selangor.
Lelaki berkenaan turut menyatakan bahawa dia masih berada di dalam kenderaan serta belum sempat mematikan enjin ketika tindakan saman dilakukan.
“Apa salah aku ni? Baru masuk parking, ni kena bayar sebelum sampai Bandar ke macam mana? MP Klang (MBdK) pula tak layan bila minta akta untuk bayar parking,” tulisnya di laman sosial berkenaan.
Di bahagian komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan penguatkuasa tersebut.
Seorang netizen berkata, “Setahu saya, bila ada orang dalam kereta, pihak berkuasa tak boleh saman, ni namanya terpaling berkuasa, terpaling banyak dapat kutip duit orang.”
Netizen lain menambah, “Kenapa tak tegur pihak berkuasa tu, tak boleh saman macam tu saja.” Seorang lagi pengguna turut menyatakan, “Memang ramai macam tu dekat Klang, sengaja nak cari duit lebih.”
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak MBdK berhubung dakwaan lelaki tersebut.
Insiden ini telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga maya, yang rata-rata meminta penjelasan dan tindakan lanjut daripada pihak berkuasa tempatan.