Boleh dilihat semakin ramai anak muda yang enggan melanjutkan pelajaran kerana terpengaruh dengan gaya hidup yang dipamerkan oleh pencipta konten yang serba mewah.
Oleh itu, sejumlah anak muda malahan yang sudah berusia turut memilih untuk terjun masuk ke dalam bidang dunia penciptaan konten dengan harapan boleh merasai pendapatan puluhan ribu ringgit.

Che Nom yang cukup terkenal di dalam ruang media sosial meminta orang ramai untuk berfikir dengan rasional sebelum menjadi pencipta konten untuk jangka masa panjang atau sebagai kerjaya sepenuh masa.
“Ramai DM Che Nom, kata minat nak mula buat content masakan. Suka masak, suka tengok video Che Nom — dan rasa macam best je buat video. Tapi hari ni Che Nom nak share satu benda penting,” tulisnya di Facebook.
Bagi dirinya, jika benar-benar mahu masuk dunia pencipta konten masakan, video yang dihasilkan mestilah berkualiti tinggi, pencahayaan yang cantik, audio yang jelas, suntingan yang menarik resepi terbukti sedap dan bukan hanya bersandarkan dengan minat semata-mata sahaja.

Berharap dengan ads semata-mata? Beliau langsung berkongsi realiti pendapatan yang diterima menerusi satu video masakan terbaru yang mempunyai lebih 56,000 jumlah tontonan tetapi pulangan dari iklan hanyalah RM415.40 itupun selepas sebulan lebih diterbitkan.
Beliau kemudian berkongsi pecahan kos keseluruhan video yang mencecah RM12,000 hingga RM16,000 pada setiap bulan:-
1. Videographer RM2.5–3.5k
2. Editor RM2.5–3k
3. Kitchen assistant RM2–2.5k
4. Kos bahan premium + testing
5. Butter, cheese, oven elektrik berjam-jam
6. Utiliti, props, software editing
“Yang baru mula? Kalau views bawah 300K sebulan — hasil ads tak sampai RM2,500 pun,” tambahnya lagi.
Che Nom mendedahkan realiti sebenarnya ramai pencipta konten yang sudah lama berkecimpung dalam industri pun sedang mengalami kesukaran yang kritikal susulan penonton lebih banyak meluangkan masa di platform TikTok. Video lama yang dahulunya bantu menjana pendapatan pasif pun semakin berkurangan jumlah tontonan. Jadi, beliau meminta pemula untuk berfikir masak-masak dengan harapan boleh menembusi halangan itu dengan mudah.
Penonton semakin ‘picky’
Menurutnya, penonton sudah semakin cerewet dan mempunyai kriteria tertentu yang membuatkan mereka boleh melayan sesebuah konten. Ditambah pula dengan lambakan pencipta konten di luar sana yang saling bersaing antara satu sama lain untuk menjadi pilihan utama tontonan netizen.
Nak buat video sendiri, fikir dulu betapa banyak tenaga yang diperlukan apatah lagi masa dan bajet wang dan akhirnya membawa kepada ‘burnout’ pula.
Dengan menyangka memiliki pasukan sudah cukup? Tidak sama sekali kerana kos juga semakin bertambah dan jika berharap dengan iklan semata-mata memang tidak memberi pulangan yang mencukupi.
Oleh itu, beliau berpesan untuk tidak berngantung dengan iklan semata-mata tetapi pelbagaikan sumber pendapatan lain seperti menjual eBook, aflliate, produk dan mungkin juga mengadakan kelas.
Selepas itu, pastikan fokus kepada niche yang betul-betul mahir dan bukannya mengikuti trend yang mana akan mati jika tidak minat di kemudian hari.
Paling utama sekali, jangan bandingkan pencapaian dengan orang yang sudah lama berkecimpung di dalam industri dan mendedahkan realiti sebenar ia tidak seindah mana. Anda perlu persiapkan mental dan bijak merancang dalam menempuhi pelbagai cabaran di dalamnya.