Salah seorang tertuduh kes masak mi segera di stesen minyak dengan dapur gas mendedahkan bahawa mereka terlalu lapar menjadi punca berbuat demikian.

Tertuduh tersebut menyatakan bahawa mereka sebenarnya merancang untuk healing dan makan di tempat lain. Oleh kerana sudah tak tahan terlalu lapar, maka mereka memutuskan untuk memasak sahaja mi segera di stesen minyak tersebut.

Semalam, The Vocket melaporkan 4 tertuduh didenda RM500 kerana memasak di stesen minyak.

Menurut laporan Oh Bulan: Antara yang tertuduh adalah seorang ejen hartanah, Nur Azira Azman, 23; peniaga kedai makan, Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, 24; pegawai khidmat pelanggan, Nur Fatin Irdina Shahrulnizam, 24, dan pembantu pergigian, Nur Anis Salleh, 24.

Perbuatan tersebut membahayakan keselamatan dan nyawa orang awam. Mereka kesemua dituduh di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama.

Seorang daripada tertuduh Fadhli Zil Ikram mengakui kesilapan mereka dan menegaskan bahawa mereka tidak pernah merancang untuk memasak dan makan mi segera di situ.

Selain itu dia juga menyatakan, mereka ingat tempat memasak mereka cukup selamat kerana jauh daripada nozel minyak. Mereka memasak di laluan menuju ke tandas, menurutnya lagi.

Fatin pula menyatakan tindakan mereka adalah rawak atau spontan kerana terlalu lapar sehingga tidak memikirkan tentang bahaya yang timbul sebab masak di stesen minyak.

Netizen menasihati mereka agar makan sahaja mi segera ‘hot cup’ yang biasanya disediakan dengan air panas di stesen minyak, selesai masalah.