Walaupun ramai orang tahu sekatan jalan raya dikawal ketat oleh pihak berkuasa, ia tidak membantutkan aktiviti pengedaran dadah. Bahkan pengedar dadah berusaha pelbagai cara untuk memastikan ‘stok dadah’ sampai ke lokasinya.
Baru-baru ini sepasukan pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak dengan kerjasama JSJN Bukit Aman pada 26 Jun 2021 berjaya menahan dua suspek memandu sebuah lori trak tunda yang menunda sebuah Toyota Alphard di Gerik, Perak.
Menurut laporan Astro Awani, kedua-dua suspek merupakan anak beranak yang berusia 27 dan 58 tahun berasal dari Kelantan. Pengarah JSJN Bukit Aman, YDH CP Dato’ Pahlawan Razarudin bin Husain berkata, hasil pemeriksaaan ke atas kereta yang ditunda telah menjumpai 448 kilogram dadah jenis Methamphetamine dan ketamin yang bernilai RM23,728,850.00 yang diletakkan di dalam bungkusan teh.
Pada masa yang sama, wang tunai bernilai RM19,672.00 turut ditemui bersama suspek semasa pemeriksaan dilakukan. Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua beranak itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Saya percaya dadah ini bukan saja untuk penagih-penagih tempatan malah kita percaya, daripada risikan kita, yang ada akan dihantar ke negara ketiga. Contohnya seperti jiran-jiran kita Filipina, Indonesia, Korea Selatan, Australia.
“Rampasan-rampasan ini sekurang-kurangnya dapat memutuskan bekalan bagi penggunaan tempatan dan juga luar negara. Jumlah dadah itu dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 2.1 juta penagih,” terang beliau.
Kini kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut untuk mengetahui ‘dalang’ disebalik pengedaran dadah dalam berskala besar ini.
Tambah Dato’ Pahlawan Razarudin lagi, hasil risikan sindiket mendapati pengedaran dadah lain turut menggunakan kenderaan di atas trak tunda untuk menghantar barang larangan terbabit ke sesebuah lokasi.
Beliau telah memaklumkan kepada Ketua Polis Perak supaya mana-mana trak tunda yang menunda kenderaan perlu diperiksa selepas ini.
Rahsia seorang remaja boleh memiliki BMW 6 Series pada usia yang muda rupanya hasil dari pengedaran dadah.
Miliki Kereta BMW Pada Usia 18 Tahun, Rupanya Beli Guna Wang Edar Dadah
Usahawan Kosmetik Bergelar ‘Datuk Seri’ Ditahan Terbabit Penyeludupan Dadah Bernilai RM5 Juta