“Nyawa saya seolah-olah berada di hujung tanduk ketika menyelamatkan diri di atas bumbung sebuah lori.
“Mungkin, mungkin tanpa bantuan bot penyelamat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu lalu, nyawa saya sudah melayang,” kata seorang mangsa banjir, P Sidamparam, 60.
Menetap di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, beliau yang juga jurulatih maraton negara, berkata ketika kejadian pada Sabtu lalu itu, beliau cuba membawa keluar keretanya ke kawasan bengkel lori berdekataan sebelum terperangkap dalam air yang sudah memenuhi hingga ke paras tempat duduk.
Bimbangkan keselamatan diri kerana air semakin tinggi selepas tujuh jam terperangkap, Sidamparam, yang juga bekas pelari marathon negara menaiki bumbung lori di bengkel itu dan kemudiannya menghantar lokasi menerusi aplikasi WhatsApp kepada anaknya pada jam kira-kira 6 pagi untuk mendapatkan bantuan.
Bersyukur bot penyelamat tiba di lokasi
“Bot penyelamat ATM tiba pada jam kira-kira 12 tengah hari dan saya amat bersyukur kerana jika mereka lambat tiba, mungkin saya tiada di sini, kata Sidamparam.
Beliau turut menyatakan penghargaan buat buat pasukan penyelamat bomba dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantunya dan penduduk di Taman Sri Muda kerana tanpa bantuan dan komitmen mereka mungkin lebih ramai mangsa kehilangan nyawa.
Pada masa sama, Sidamparam, yang juga pesara polis berkata, dalam keadaan tanpa dijangka ini, semua pihak tidak boleh menuding jari menyalahkan mana-mana agensi kerana mereka sudah melakukan yang terbaik dan mahu menyelamatkan sebanyak mungkin mangsa secepat mungkin.
Barangan peribadi musnah sekelip mata
Akibat bencana itu, banyak barangan kesayangannya khususnya pingat dan surat watikah atas perkhidmatannya sebagai pegawai polis dan pencapaiannya sebagai atlet, turut musnah.
Katanya, antara ‘barangan’ kesayangannya yang hanyut dibawa arus deras ialah Pingat Jasa Pahlawan Negaran dan Kesatria Mangku Negara.
“Saya menganggarkan kerugian adalah sekitar RM80,000, namun bencana banjir ini juga memberikan hikmah di sebaliknya apabila ramai pihak tampil ke depan untuk membantu dan meluahkan simpati mereka,” katanya.
Sidamparam berkata, walaupun hampir seminggu kejadian banjir, beliau masih tidak menang tangan menerima pelbagai bantuan, termasuk daripada agensi kerajaan.
Sementara itu, pekerja swasta, Wan Nor Rahman Wan Mustafa, 41, yang datang dari Johor bagi melawat keluarganya di Shah Alam tidak mungkin dapat melupakan kenangan melihat bot penyelamat bomba membawa ibu mentua, adik dan anak saudaranya yang berusia 11 bulan daripada terkandas di rumah dua tingkat di Taman Sri Muda.
Beliau bersama ahli keluarga lain menginap di inap desa di Taman Sri Muda pada Sabtu lalu sebelum dimaklumkan oleh penduduk taman berhubung kemungkinan banjir. Beliau berkata pada hari tersebut, hujan tidak begitu lebat tetapi air mula naik di tingkat bawah.
“Ketika terkandas di bahagian tingkat dua itu, saya dapat melihat bot penyelamat bomba dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) datang mengambil penduduk taman.
“Ketika itu, saya meminta mereka untuk menyelamatkan ibu mentua saya yang berusia 64 tahun dan bayi sebelum menunggu bantuan seterusnya tiba,” katanya.
PM umum peruntukan awal berjumlah RM100 juta
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM100 juta bagi membaiki kerosakan kediaman dan infrastruktur akibat banjir.
Kerajaan juga bersetuju memberikan sumbangan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dengan bantuan itu dipercepatkan di seluruh negara.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan cuti kecemasan kepada semua kakitangan awam yang terkesan akibat bencana banjir, manakala bagi kakitangan swasta, syarikat disarankan memberi pekerja cuti berbayar atau ‘paid leave’ dengan tidak menolak peruntukan cuti tahunan dan gaji mereka.
Ini pula luahan seorang anggota bomba yang pasrah keringat mereka membantu mangsa banjir tanpa henti dibalas cacian oleh netizen.
‘Ini Mencuri Namanya’- Netizen Kecewa Lihat Segelintir Individu Ambil Kesempatan Terhadap Mydin Mart
Dahulunya Diketawakan, Cara Berkesan Keluarga Ini Selamatkan Kereta Daripada Banjir Kembali Tular