Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman mendedahkan kegiatan menjual tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga berlaku antara sesama peniaga secara suka sama suka dan bukannya membabitkan persatuan penjaja.

Menurutnya, kegiatan tersebut sudah lama berlaku terutama melibatkan tapak di Lorong Masjid India, Kuala Lumpur, petik Sinar Harian.

“Harga tapak bazar Ramadan yang dijual semula kepada pihak ketiga boleh mencecah sehingga RM30,000 bergantung kepada lokasi.

“Tapak yang dijual adalah kategori jualan barang kering seperti pakaian, perhiasan dan sebagainya dan bukan tapak jualan makanan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, ada pelbagai kaedah yang mereka gunakan untuk mengaburi pihak penguatkuasa.

“Bagi mengelakkan kegiatan jual tapak dikesan, peniaga akan letak nama orang ketiga (penyewa asal tapak) sebagai pembantu.

“Jadi penguat kuasa tak boleh tangkap (pihak ketiga) kerana dia dilantik sebagai pembantu, sedangkan pembantu itulah pemilik sebenar perniagaan.

“Walaupun tuan asal ada di tapak perniagaan, dia sebagai tunggul sahaja. Ini yang licik, sukar nak kesan dan tangkap,” jelasnya lagi.

Sumber