Legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat bakal menggalas tanggungjawab lebih besar selepas ini apabila beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pemuda dan Olahraga (KEMENPORA) negara republik tersebut.

Kementerian tersebut mendukung peranan sama seperti Kementerian Belia dan Sukan di Malaysia dimana Taufik akan membantu menteri penuh iaitu Dito Ariotedjo yang terus dikekalkan dalam kabinet Presiden Prabowo Subianto ini.

Baca Juga:

Dengan tanggungjawab serta kepercayaan diberikan Prabowo, Taufik yang kini berusia 43 tahun itu bakal membawa cabaran besar dalam membantu Dito bagi mewujudkan polisi-polisi ke arah perkembangan positif dan berimpak tinggi sukan di sana.

Taufik juga sebelum ini dilabel sebagai seorang yang cukup lantang dalam menyuarakan pendapat sekiranya terdapat sebarang ketidakpuasan hati berhubung isu badminton atau khususnya sukan di Indonesia

Pada Pemilihan Umum 2024 tempoh hari, Taufik diletakkan sebagai calon Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) yang ditubuhkan dan dipimpin oleh Prabowo.

Walaupun mendapat undi yang banyak tetapi ia masih belum cukup untuk membawanya ke Kompleks Parlimen Senayan.

Menarik untuk disaksikan apa yang mampu dilakukan oleh Taufik Hidayat dalam tugasan baharunya itu kerana dalam badminton kita dapat melihat pencapaian hebat dilakarkannya.

Anak kelahiran Bandung itu merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004 di Athens, Juara Dunia 2005, menjuarai Piala Thomas 2000 dan 2002 serta banyak lagi kejuaraan pernah dikecapi sepanjang karier hebatnya.