Teka teki mengenai nasib Presiden Iran Ebrahim Raisi masih tidak jelas selepas helikopter yang membawanya terhempas ketika cuaca buruk melanda Iran semalam, lapor Reuters.

Helikopter itu masih belum ditemui kerana cuaca buruk sehingga membantutkan usaha pencarian.

Laporan sebelum ini mengatakan terdapat beberapa serpihan yang berkaitan dengan nahas helikopter itu telah ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat, tetapi Bulan Sabit Merah Iran menafikannya.

Kemalangan itu berlaku di wilayah Jolfa di wilayah Azerbaijan Timur, Iran.

Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian turut berada di dalam helikopter itu.

Pasukan mencari dan menyelamat sedang dalam usaha menjejak helikopter terbabit di kawasan pergunungan terpencil dalam keadaan cuaca yang dilaporkan buruk dan kabus tebal telah menyukarkan lagi pencarian.

Bekas Menteri Pertahanan Britain Tobias Ellwood memberitahu Sky News, “Ia bukan petanda yang baik jika ia mengambil masa yang lama untuk mengetahui apa yang berlaku.”

Beliau mengakui keadaan sukar yang dialami pasukan penyelamat, tetapi menambah bahawa kekurangan maklumat daripada media telah mencetuskan lagi pelbagai spekulasi.

“Sekiranya presiden masih hidup maka mereka akan mengesahkannya serta-merta, tetapi jika dia mati maka mereka mungkin akan menangguhkan sebarang pengumuman untuk memastikan rancangan kecemasan telah disediakan,” katanya.