Kedai Al-Ikhsan sering menjadi pilihan orang awam untuk mendapatkan peralatan atau pakaian sukan yang berkualiti pada harga mampu milik.

Di sebalik kejayaannya menembusi pasaran di seluruh negara, pasti ramai masih belum mengetahui sosok dibelakangnya yang mengendalikan bisnes tersebut sehingga ke hari ini.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @FahdiGhazali, dia menemu ramah pengasas kepada empayar Al-Ikhsan iaitu Tuan Haji Ali Hassan.

Ikon bisnes hebat ini berkongsi yang dia sedia menawarkan barangan seperti kasut sukan bermula harga serendah RM100 sehingga ribuan ringgit. Kedainya bukan sahaja menawarkan alat atau pakaian  berjenama terkenal malahan ia tampil membawa jenama kurang popular tetapi berkualiti serta berfungsi dengan baik.

“Yang mahal ada dekat Football Republic, yang sederhana pula ada di Al-Ikhsan Sports dan yang nak lagi murah dekat Sport Warehouse.

“Jadi kalau anak-anak orang datang, dia kata ak janji beli dekat Al-Ikhsan pun aku(merujuk pada dirinya) dah happy,” kongsinya.

Walaupun dituduh membawa barangan tiruan dan menerima teguran Al-Ikhsan tidak tampak premium seperti kedai sukan terkenal lain, Tuan Haji Ali Hassan menegaskan yang dia menjual barangan tulen dalam masa sama mahu memenuhi keperluan buat keluarga yang kurang berkemampuan tapi mahu mendapatkan barangan yang berkualiti.

“Jadi orang datang ke kedai kita untuk beli barang itu, kita provide benda itu ada manfaat,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, sebab tidak mahu menaikkan harga sejak 30 tahun yang lalu adalah kerana pernah merasai fasa hidup yang susah pada suatu ketika dahulu sebelum berjaya seperti ini.

“Kerana aku tahu, aku ada perasaan sebab aku juga susah dulu. Bila aku nak beli barang, macam ni lah susah dia,” kongsinya sebab tidak mahu menaikkan harga barangan sejak 30 tahun lalu.

Dengan menjalankan bisnes sebegini, beliau turut merasa bahagia kerana dapat memenuhi segmen orang yang berpendapatan rendah dan dalam erti kata lain dapat menyumbang semula kepada masyarakat tanpa menfokuskan keuntungan semata-mata.

@fahdighazali99

Bisnes sebab nak bantu orang. Baru masalah boleh selesai. Tonton perkongsian penuh di Youtube Channel Fahdi Ghazali. @Mr. Pudin ⚡️CEO Urus Orang #FunnelEvo #FahdiGhazali #AmazingFounder #lawantetaplawan #FunnelEvoPodcast

♬ Epic Inspiration – DM Production

Perkongsian video itu sememangnya menjadi perhatian netizen dan rata-ratanya berterima kasih dengan pengasas Al-Ikhsan yang sanggup menawarkan alatan dan pakaian sukan dengan mengekalkan harga seadanya untuk memenuhi keperluan keluarga yang susah.

Al-ikhsan
Sumber Gambar: TikTok
Al-ikhsan
Sumber Gambar: TikTok

Ramai turut mengimbau pengalaman mampu memakai kasut yang cukup berkualiti dengan harga mampu milik yang ditawarkan oleh Al-Ikhsan sewaktu belajar di kolej dan sebagainya. Bagi mereka, dengan kehadiran al-Ikhsan membuka peluang untuk bersukan bagi setiap segmen masyarakat.